Ezra 3:3-9 BM

3 Meskipun mereka takut terhadap penduduk negeri itu, namun mereka membina semula mazbah itu di tempat asalnya. Setelah itu mereka mulai mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, pada waktu pagi dan petang.

4 Mereka juga merayakan Perayaan Pondok Daun menurut peraturan yang ditetapkan; tiap-tiap hari mereka mempersembahkan korban yang ditetapkan untuk hari itu.

5 Selain itu, dengan teratur mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban yang dipersembahkan pada Perayaan Bulan Baru, dan pada semua perayaan lain yang diadakan untuk menyembah TUHAN. Mereka juga mempersembahkan persembahan sukarela kepada TUHAN.

6 Walaupun rakyat belum memulakan pembinaan semula Rumah TUHAN, mereka telah mulai membakar korban untuk TUHAN pada hari pertama bulan ketujuh.

7 Rakyat menyumbangkan wang untuk membayar upah tukang batu dan tukang kayu. Mereka juga menghantar makanan, minuman, dan minyak zaitun ke kota Tirus dan Sidon untuk ditukarkan dengan kayu sedar dari Lebanon. Kayu itu dibawa ke Yafo melalui laut. Semua pekerjaan itu dilakukan dengan kebenaran daripada Raja Kores, raja Persia.

8 Pada bulan kedua, dalam tahun kedua selepas orang Israel kembali ke Yerusalem, mereka mulai membina semula Rumah TUHAN. Zerubabel, Yesua dan orang sebangsa mereka, para imam dan orang Lewi, pendek kata, semua orang bekas buangan, ikut bekerja. Semua orang Lewi yang berusia 20 tahun ke atas ditugaskan untuk mengawasi pembinaan Rumah TUHAN.

9 Yesua, orang Lewi itu, bersama dengan anak-anak serta sanak saudaranya, dan juga Kadmiel serta anak-anaknya (puak Hodawya) turut mengawasi pekerjaan pembinaan Rumah TUHAN. Mereka dibantu oleh orang Lewi daripada puak Henadad.