Ezra 8 BM

Orang Buangan yang Kembali Bersama dengan Ezra

1 Inilah senarai para pemimpin puak yang dibuang ke negeri Babilonia, dan yang kembali bersama-sama saya, Ezra, ke Yerusalem pada masa pemerintahan Raja Artahsasta:

2-14 Gersom, daripada puak Pinehas,Daniel, daripada puak Itamar,Hatus anak Sekhanya, daripada puak Daud,Zakharia, daripada puak Paros, bersama dengan 150 orang lelaki daripada puaknya (ada catatan tentang nama nenek moyang mereka),Elyoenai anak Zerahya, daripada puak Pahat-Moab, bersama dengan 200 orang lelaki,Sekhanya anak Yahaziel, daripada puak Zatu, bersama dengan 300 orang lelaki,Ebed anak Yonatan, daripada puak Adin, bersama dengan 50 orang lelaki,Yesaya anak Atalya, daripada puak Elam, bersama dengan 70 orang lelaki,Zebaja anak Mikhael, daripada puak Sefaca, bersama dengan 80 orang lelaki,Obaja anak Yehiel, daripada puak Yoab, bersama dengan 218 orang lelaki,Selomit anak Yosifya, daripada puak Bani, bersama dengan 160 orang lelaki,Zakharia anak Bebai, daripada puak Bebai, bersama dengan 28 orang lelaki,Yohanan anak Hakatan, daripada puak Azgad, bersama dengan 110 orang lelaki,Elifelet, Yehiel dan Semaya, daripada puak Adonikam, bersama dengan 60 orang lelaki, (mereka pulang kemudian),Utai dan Zabud, daripada puak Bigwai, bersama dengan 70 orang lelaki.

Ezra Mengumpulkan Orang Lewi untuk Bekerja di Rumah TUHAN

15 Saya mengumpulkan semua orang itu di pinggir sungai yang mengalir ke kota Ahawa, dan kami berkhemah di sana selama tiga hari. Saya mendapati bahawa ada beberapa orang imam di kalangan mereka tetapi tiada orang Lewi.

16 Oleh itu saya memanggil sembilan orang daripada para pemimpin: Eliezer, Ariel, Semaya, Elnatan, Yarib, Elnatan, Natan, Zakharia, Mesulam, dan dua orang guru, iaitu Yoyarib dan Elnatan.

17 Kemudian saya menyuruh mereka menghadap Ido, ketua masyarakat di Kasifya, untuk meminta dia dan rakan-rakannya, iaitu para pekerja Rumah TUHAN, supaya memberi kami orang untuk bekerja di Rumah TUHAN.

18 Oleh sebab kebaikan hati Allah, mereka memberi kami Serebya, seorang Lewi yang cerdas daripada puak Mahli. Bersama dengan Serebya, datang juga anak-anak dan saudara-saudaranya, sejumlah lapan belas orang.

19 Mereka juga mengutus Hasabya dan Yesaya daripada puak Merari, bersama dengan 20 orang sanak saudara mereka.

20 Selain itu, ada lagi 220 orang pekerja Rumah TUHAN yang didaftarkan nama. Mereka ialah keturunan orang yang ditugaskan oleh Raja Daud dan para pegawainya untuk menolong orang Lewi.

Ezra Memimpin Orang Bekas Buangan untuk Berdoa dan Berpuasa

21 Selepas itu, di pinggir Sungai Ahawa, saya mengisytiharkan bahawa kami harus berpuasa dan merendahkan diri di hadapan Allah. Kami berdoa agar Dia memimpin kami dalam perjalanan dan melindungi kami, anak-anak kami, dan segala milik kami.

22 Saya segan meminta pasukan berkuda daripada raja untuk mengawal kami daripada serangan musuh dalam perjalanan. Saya berbuat demikian kerana saya memberitahu baginda bahawa Allah kami memberkati setiap orang yang berharap kepada-Nya, tetapi Dia murka dan menghukum sesiapa sahaja yang tidak setia kepada-Nya.

23 Demikianlah kami berpuasa dan berdoa agar Allah melindungi kami, dan Dia pun mengabulkan doa kami.

Persembahan untuk Rumah TUHAN

24 Daripada para imam yang terkemuka, saya memilih dua belas orang: Serebya, Hasabya, dan sepuluh orang lagi.

25 Kemudian saya menimbang perak, emas, dan perkakas yang disumbangkan oleh raja, para penasihat serta pegawainya, dan juga oleh bangsa Israel untuk digunakan di dalam Rumah TUHAN. Saya memberikan semuanya kepada para imam.

28 Saya berkata kepada mereka, “Kamu ini dikhaskan bagi TUHAN, Allah nenek moyang kita. Demikian juga semua perkakas daripada perak dan emas yang dipersembahkan sebagai persembahan khas kepada TUHAN.

29 Jagalah benda-benda itu dengan cermat sehingga kamu sampai di Rumah TUHAN. Di sana kelak, di bilik imam, timbanglah semua benda itu lalu serahkanlah kepada para pemimpin imam, orang Lewi dan pemimpin bangsa Israel di Yerusalem.”

30 Demikianlah para imam dan orang Lewi menerima perak, emas, dan perkakas itu lalu membawanya ke Rumah TUHAN di Yerusalem.

Ketibaan di Yerusalem

31 Kami meninggalkan Sungai Ahawa pada hari kedua belas bulan pertama lalu berangkat ke Yerusalem. Dalam perjalanan, Allah kami menyertai dan melindungi kami daripada serbuan dan serangan hendap musuh.

32 Apabila kami tiba di Yerusalem, kami berehat selama tiga hari.

33 Pada hari keempat, kami masuk ke Rumah TUHAN, lalu menimbang perak, emas dan perkakas yang lain. Selepas itu kami menyerahkannya kepada Imam Meremot anak Uria dengan disaksikan oleh Eleazar anak Pinehas dan dua orang Lewi, iaitu Yozabad anak Yesua dan Noaja anak Binui.

34 Semua barang itu dikira dan ditimbang, lalu catatan yang lengkap dibuat pada masa itu juga.

35 Pada hari itu juga, semua orang yang telah pulang dari pembuangan, mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, kepada Allah Israel. Mereka mempersembahkan 12 ekor lembu jantan bagi segenap umat Israel, 96 ekor domba jantan, dan 77 ekor anak domba. Mereka mempersembahkan juga 12 ekor kambing bagi korban untuk mengampunkan dosa mereka sendiri. Semua binatang itu dibakar sebagai korban untuk TUHAN.

36 Kemudian mereka mengambil dokumen yang diberikan oleh raja dan menyampaikannya kepada para gabenor dan para pegawai wilayah Efrat Barat. Para pegawai itu pun memberikan bantuan kepada rakyat supaya mereka dapat meneruskan ibadat di Rumah TUHAN.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10