Ezra 6:8-14 BM

8 Bahkan beta memerintah agar kamu semua menolong mereka membinanya. Perbelanjaan membina Rumah TUHAN itu harus dibayar dengan segera dari perbendaharaan kerajaan, daripada hasil cukai wilayah Efrat Barat. Janganlah biarkan pembinaan itu tergendala!

9 Tiap-tiap hari, para imam yang berada di Yerusalem harus diberikan apa sahaja yang diperlukan mereka: sama ada lembu jantan muda, domba jantan, atau anak domba sebagai korban untuk dipersembahkan kepada Allah penguasa di syurga, ataupun gandum, garam, wain, dan minyak zaitun.

10 Kesemua ini hendaklah dilaksanakan supaya mereka dapat mempersembahkan korban yang diperkenankan Allah penguasa di syurga, dan supaya mereka berdoa kepada-Nya untuk memohon berkat bagi beta dan putera-putera beta.

11 Beta memerintahkan juga bahawa sesiapa melanggar perintah beta ini, tulang bumbung rumahnya akan dibongkar, diruncingkan, lalu ditusukkan ke dalam badannya sampai tembus. Rumah orang itu akan dijadikan tempat timbunan sampah.

12 Semoga Allah yang telah memilih Yerusalem sebagai tempat Dia disembah, membinasakan raja atau bangsa apa sahaja yang melanggar perintah ini serta cuba memusnahkan Rumah TUHAN. Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Jalankanlah perintah ini dengan sebaik-baiknya.”

13 Selepas itu, Gabenor Tatnai dari Efrat Barat, Syetar-Boznai dan rakan-rakan mereka melakukan tepat seperti yang diperintahkan Raja Darius.

14 Para pemimpin orang Yahudi meneruskan pembinaan Rumah itu dengan pesat. Mereka digalakkan oleh Nabi Hagai dan Zakharia. Mereka menyelesaikan pembinaan Rumah itu menurut perintah Allah Israel dan perintah Raja Kores, Raja Darius, dan Raja Artahsasta, raja-raja Persia.