11 Raja Artahsasta memberi Ezra, imam dan pakar Taurat itu, dokumen berikut:
12 “Daripada Raja Artahsasta kepada Imam Ezra, pakar Taurat Allah penguasa di syurga.
13 Beta bertitah bahawa semua imam, orang Lewi dan orang Israel lain di seluruh kerajaan beta, yang ingin pergi ke Yerusalem, dibenarkan pergi bersama dengan kamu.
14 Beta, bersama-sama tujuh orang penasihat beta, mengutus kamu untuk menyelidiki keadaan di Yerusalem dan Yehuda. Periksalah sama ada Taurat Allah yang telah diamanahkan kepadamu itu benar-benar ditaati.
15 Bawalah bersama-samamu emas dan perak yang hendak beta dan para penasihat beta persembahkan kepada Allah Israel, Allah yang tinggal di Yerusalem.
16 Bawalah juga perak serta emas yang telah kamu kumpulkan di seluruh wilayah Babilonia, dan juga persembahan orang Israel serta imam-imam mereka bagi Rumah TUHAN, Allah mereka yang dibina di Yerusalem.
17 Gunakanlah wang itu dengan cermat untuk membeli lembu jantan, domba jantan, anak domba, gandum, dan wain. Persembahkanlah semua persembahan itu di mazbah Rumah TUHAN di Yerusalem.