5 anak Abisua, anak Pinehas, anak Eleazar, anak Harun.
6-7 Ezra seorang yang terpelajar dan sangat mahir dalam Taurat yang diberikan oleh TUHAN, Allah Israel, kepada Musa. Raja memberikan apa sahaja yang diminta oleh Ezra kerana Ezra diberkati TUHAN, Allahnya. Pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Artahsasta, Ezra berangkat dari negeri Babilonia ke Yerusalem bersama-sama sekumpulan orang Israel, termasuk beberapa orang imam, orang Lewi, penyanyi, serta pengawal pintu Rumah TUHAN, dan para pekerja.
8-9 Mereka meninggalkan negeri Babilonia pada hari pertama bulan pertama, dan dengan pertolongan Allah, mereka tiba di Yerusalem pada hari pertama bulan kelima.
10 Ezra telah mengabdikan hidupnya untuk mengkaji Taurat TUHAN, melakukannya serta mengajarkan segala ketetapan dan hukumnya kepada bangsa Israel.
11 Raja Artahsasta memberi Ezra, imam dan pakar Taurat itu, dokumen berikut:
12 “Daripada Raja Artahsasta kepada Imam Ezra, pakar Taurat Allah penguasa di syurga.
13 Beta bertitah bahawa semua imam, orang Lewi dan orang Israel lain di seluruh kerajaan beta, yang ingin pergi ke Yerusalem, dibenarkan pergi bersama dengan kamu.