1 Selepas semua itu dilaksanakan, beberapa orang pemimpin Israel datang kepada saya. Mereka memberitahukan bahawa rakyat Israel, termasuk para imam dan orang Lewi tidak memisahkan diri daripada bangsa-bangsa yang tinggal di sekitar mereka, iaitu bangsa Amon, Moab, Mesir, Kanaan, Het, Feris, Yebusi, dan Amori. Mereka juga melakukan perbuatan keji bangsa-bangsa itu.
2 Orang lelaki Yahudi berkahwin dengan wanita asing sehingga umat yang khas bagi Allah tercemar. Para pemimpin dan pegawai merekalah yang mula-mula sekali melakukan perkara itu.
3 Apabila saya mendengar hal itu, saya mengoyakkan pakaian kerana sangat berdukacita. Saya mencukur rambut dan janggut, lalu duduk dengan hati yang hancur luluh.
4 Saya sangat sedih dan duduk di situ sehingga masa untuk mempersembahkan korban petang. Orang ramai datang berkumpul di sekeliling saya. Semua orang itu ketakutan kerana ancaman Allah Israel terhadap dosa yang telah dilakukan mereka yang pulang dari pembuangan.
5 Pada masa korban petang mula dipersembahkan, saya bangun dari tempat saya duduk bersedih hati dengan berpakaian koyak rabak, lalu saya berlutut dan mengangkat tangan kepada TUHAN, Allah saya.
6 Saya berkata, “Ya Allahku, aku terlalu malu hendak mengangkat kepala di hadapan-Mu. Dosa kami bersusun-susun di atas kepala sehingga sampai di langit.