Ezra 9:8-14 BM

8 Tetapi sekarang, untuk seketika, Engkau ya TUHAN, Allah kami, baru sahaja mengasihani kami dan membebaskan beberapa orang di kalangan kami daripada perhambaan, serta memberi kami kehidupan yang tenteram di tempat yang khas ini. Engkau telah memberi kami kehidupan yang baru.

9 Engkau tidak meninggalkan kami pada masa kami masih dalam perhambaan. Engkau telah membuat raja Persia berkenan kepada kami dan mengizinkan kami hidup serta membina semula Rumah-Mu yang telah runtuh itu. Engkau memberi kami perlindungan di Yehuda dan di Yerusalem.

10 Tetapi sekarang, ya Allah, setelah semua kejadian itu, apakah yang dapat kami katakan? Sekali lagi kami telah melanggar perintah-Mu

11 yang diberikan kepada kami melalui hamba-Mu, para nabi. Mereka memberitahu kami bahawa tanah yang akan kami diami itu telah dicemar, kerana penduduknya telah mencemarkan seluruhnya dengan perbuatan yang kotor dan keji.

12 Nabi-nabi itu memberitahu kami bahawa kami tidak boleh berkahwin dengan penduduk tempatan ataupun menolong mereka menjadi makmur dan sejahtera. Jika kami taat, kami akan menjadi kuat dan menikmati hasil tanah itu serta mewariskannya kepada keturunan kami selama-lamanya.

13 Sekarang Engkau telah menghukum kami kerana segala dosa dan pelanggaran kami terhadap hukum-Mu. Tetapi kami tahu ya Allah kami, bahawa hukuman-Mu itu jauh lebih ringan daripada yang setimpal dengan perbuatan kami; malahan Engkau telah menyelamatkan kami.

14 Oleh itu, bagaimana mungkin kami mengabaikan lagi perintah-Mu itu, lalu berkahwin dengan orang yang jahat itu? Jika kami melakukannya, tentu Engkau akan murka lalu membinasakan kami sama sekali, sehingga tiada seorang pun hidup.