10 Aku akan menyerang orang yang berdosa ini dan menghukum mereka. Bangsa-bangsa akan bersekutu untuk melawan mereka, dan mereka akan dihukum kerana dosa mereka yang banyak itu.
11 Dahulu Israel seperti lembu muda yang terlatih, dan sentiasa sedia mengirik gandum. Aku tidak perlu memasang kok pada tengkoknya yang elok itu. Tetapi sekarang Aku telah membuat keputusan untuk memaksanya bekerja berat. Aku menyuruh Yehuda membajak dan Israel menarik garu.
12 Aku berfirman, ‘Bukalah tanah baru untuk kamu sendiri, taburlah benih keadilan, dan tuailah berkat yang dihasilkan oleh kesungguhan cinta kamu kepada Aku. Sudah tiba masanya kamu kembali kepada-Ku, TUHAN kamu; Aku akan datang dan mencurahkan berkat kepada kamu.’
13 Tetapi sebaliknya kamu menanam kejahatan dan menuai ketidakadilan. Kamu terpaksa makan hasil dusta kamu.Oleh sebab kamu mengharapkan kereta kuda kamu, dan tentera kamu yang besar,
14 maka kamu akan ditimpa peperangan dan segala kubu kamu akan dimusnahkan. Keadaannya akan menjadi seperti hari Raja Salman memusnahkan kota Bet-Arbel dalam peperangan, dan membinasakan ibu-ibu bersama dengan anak-anak mereka.
15 Hal itu akan berlaku kepada kamu, hai penduduk Betel, kerana kamu telah melakukan kejahatan yang besar. Sebaik sahaja peperangan bermula, raja Israel akan mati.”