2 Tetapi tidak lama lagi kamu akan kekurangan gandum dan minyak zaitun, dan wain kamu akan habis.
3 Kamu, orang Israel tidak akan tinggal di negeri yang diberikan TUHAN kepada kamu. Kamu harus kembali ke Mesir dan makan makanan haram di Asyur.
4 Di negeri-negeri itu kamu tidak akan dapat mempersembahkan wain dan korban binatang untuk menyenangkan hati TUHAN. Makanan kamu akan menajiskan semua orang yang memakannya, seperti makanan yang dimakan pada masa upacara penguburan. Makanan kamu hanya untuk menahan lapar; sedikit pun tidak akan dibawa sebagai persembahan ke Rumah TUHAN.
5 Pada masa perayaan agama untuk menghormati TUHAN, kamu tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk merayakannya.
6 Apabila malapetaka tiba dan rakyat tercerai-cerai, orang Mesir akan mengumpulkan kamu untuk dibunuh dan untuk dikuburkan di Memfis! Harta kamu daripada perak dan tempat rumah kamu dahulu akan diliputi rumput dan semak berduri.
7 Masa penghukuman telah tiba, masa untuk menerima pembalasan. Israel akan tahu apabila perkara ini berlaku. Kamu berkata, “Nabi ini bodoh. Utusan Allah ini gila.” Kamu begitu membenci aku kerana dosa kamu sangat besar.
8 Allah telah mengutus aku sebagai nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya Israel. Namun ke mana sahaja aku pergi, kamu berusaha untuk memerangkap aku seperti memerangkap burung. Di negeri milik Allah sendiri, nabi-nabi-Nya dimusuhi rakyat.