5 Segala perkara itu akan berlaku kerana umat Israel sudah berdosa dan memberontak terhadap Allah. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pemberontakan Israel? Samaria, ibu kotanya sendiri! Siapakah yang bertanggungjawab terhadap penyembahan berhala di Yehuda? Yerusalem!
6 Oleh itu TUHAN berfirman, “Aku akan menjadikan Samaria timbunan runtuhan di padang, dan tempat orang menanam pokok anggur. Aku akan membuang batu puing kota itu ke lembah, dan asas kota itu akan kelihatan.
7 Semua berhalanya akan dihancurkan, dan setiap benda yang sudah diberikan kepada pelacur di kuil akan dimusnahkan oleh api. Semua patung berhalanya akan menjadi tumpukan sampah. Samaria mendapat benda-benda itu sebagai hasil pemujaan kepada dewa kesuburan; sekarang musuhnya pula akan membawa benda-benda itu untuk diberikan kepada pelacur-pelacur di kuil lain.”
8 Kemudian Mikha berkata, “Oleh itu aku akan berkabung dan meratap. Untuk menunjukkan kesedihanku, aku akan berjalan tanpa pakaian dan tanpa kasut. Aku akan melolong seperti serigala dan meraung seperti burung unta.
9 Luka Samaria tidak dapat disembuhkan, dan Yehuda akan segera ditimpa penderitaan yang sama. Kemusnahan sudah tiba di pintu gerbang Yerusalem, tempat kediaman bangsaku.”
10 Jangan beritahu musuh di Gat tentang kekalahan kita. Jangan benarkan mereka melihat kamu menangis. Hai penduduk Bet-Le-Afra, bergulinglah dalam debu sebagai tanda putus asa.
11 Hai penduduk Safir, pergilah ke negeri pembuangan sambil bertelanjang dan berasa malu. Penduduk Zaanan tidak berani pergi ke luar kota. Apabila kamu mendengar penduduk Bet-Haezel meratap, kamu akan tahu bahawa tidak ada tempat perlindungan di situ.