Mikha 5 BM

Allah Menjanjikan Seorang Penguasa

1 TUHAN berfirman, “Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.”

2 Oleh itu TUHAN akan membiarkan umat-Nya dikuasai musuh sehingga wanita yang akan bersalin itu melahirkan anak lelakinya. Selepas itu orang dalam pembuangan akan berkumpul semula dengan sesama bangsa mereka.

3 Apabila penguasa itu tiba, dia akan memerintah rakyatnya dengan kekuatan daripada TUHAN, dan dengan keagungan TUHAN, Allah sendiri. Rakyatnya akan hidup aman kerana semua bangsa di bumi akan mengakui kebesarannya,

4 dan dia akan mendatangkan keamanan.Apabila orang Asyur menyerang negeri kita dan menembusi pertahanan kita, kita akan mengutus pemimpin-pemimpin yang paling kuat untuk melawan mereka.

5 Dengan kekuatan senjata, mereka akan mengalahkan Asyur, tanah Nimrod, dan mereka akan menyelamatkan kita daripada serangan orang Asyur apabila mereka menyerang wilayah kita.

Pembebasan dan Hukuman

6 Umat Israel yang masih hidup akan menjadi seperti embun yang menyegarkan, yang dikirim oleh TUHAN kepada banyak bangsa; mereka bagaikan titisan hujan pada tanaman. Mereka akan bersandar kepada Allah dan bukan kepada manusia.

7 Mereka yang masih hidup antara bangsa-bangsa lain akan menjadi seperti singa yang sedang mencari makanan di hutan atau di padang rumput; singa masuk ke tengah-tengah kawanan domba, menerkam serta mencabik-cabikkan domba; tiada sesiapa pun dapat menyelamatkan domba-domba itu.

8 Israel akan mengalahkan musuhnya dan membinasakan mereka semua.

9 TUHAN berfirman, “Pada masa itu Aku akan merampas kuda kamu dan memusnahkan kereta kuda kamu.

10 Aku akan memusnahkan kota-kota di negeri kamu dan merobohkan semua pertahanan kamu.

11 Aku akan memusnahkan azimat kamu dan menyingkirkan semua peramal kamu.

12 Aku akan memusnahkan patung-patung berhala dan tugu-tugu keramat kamu. Kamu tidak akan menyembah benda-benda buatan kamu sendiri lagi.

13 Aku akan merobohkan patung-patung Dewi Asyera di negeri kamu dan memusnahkan kota-kota kamu.

14 Dalam kemurkaan-Ku yang meluap-luap Aku akan membalas dendam-Ku terhadap semua bangsa yang tidak taat kepada-Ku.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7