1 Malanglah kota yang dipenuhi pembunuh dan pendusta,dan juga dipenuhi harta bendayang akan dirampas dan dijarah.
2 Dengarlah lecutan cambuk dan putaran roda,derap lari kuda dan goncangan kereta kuda.
3 Pasukan berkuda menyerang dengan penuh semangat,pedang berkilau dan tombak berkilat.Orang yang mati tidak terhitung,mayat mereka bertimbun-timbun,menyebabkan orang tersandung.
4 Niniwe pelacur itu dijatuhi hukuman.Kecantikannya sangat mempesonakan.Dia menyihir banyak bangsa,dan menjadikan mereka hambanya.
5 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman,“Hai Niniwe, Aku akan menghukum engkau!Aku akan menelanjangi engkau,dan membiarkan bangsa-bangsa melihatmu;mereka akan nampak keadaanmu yang memalukan.
6 Aku memperlakukan engkau dengan penuh kebencian;Aku melempari engkau dengan kotoran.Orang akan menatap engkau dengan rasa gerun.
7 Semua orang yang melihatmu akan berundur dan berkata,‘Niniwe tinggal runtuhan belaka!Siapakah yang turut berduka dengannya?Tiada lagi yang mahu menghiburkan dia.’ ”
8 Hai Niniwe, adakah engkau lebih baik daripada Tebe, ibu kota Mesir? Tebe juga mempunyai sungai yang melindunginya seperti tembok; Sungai Nil adalah pertahanannya.
9 Tebe memerintah negeri Etiopia dan Mesir; kuasanya tidak terbatas. Libia menjadi sekutu Tebe.
10 Meskipun begitu, penduduk Tebe ditawan dan dibuang negeri. Di setiap sudut jalan, anak-anak mereka dipukul sehingga mati. Para pembesar mereka dirantai lalu dibahagi-bahagikan antara orang yang menangkap mereka.
11 Hai Niniwe, engkau pun akan mabuk. Engkau juga akan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada musuh.
12 Semua kubumu akan menjadi seperti pokok ara yang buahnya sudah masak. Apabila pokok itu digoncang, buahnya akan terus jatuh ke dalam mulut orang yang ingin memakannya.
13 Askarmu lemah seperti perempuan dan negerimu terdedah, tidak berkawal di hadapan musuh. Api akan menghanguskan palang pintu gerbangmu.
14 Timbalah air untuk persediaan selama engkau dikepung. Kuatkanlah kubu-kubumu! Injak-injaklah tanah liat untuk membuat batu bata, dan sediakanlah acuan-acuannya!
15 Apa pun yang engkau buat akan sia-sia sahaja, kerana engkau pasti akan dibakar sehingga mati atau dibunuh dalam pertempuran. Engkau akan lenyap seperti tanaman yang dilahap belalang.Engkau sudah berkembang biak seperti belalang!
16 Pedagangmu lebih banyak daripada bintang di langit! Tetapi sekarang mereka sudah pergi, seperti belalang yang mengembangkan sayap lalu terbang menghilang.
17 Para pegawaimu seperti kawanan belalang yang berlindung di tembok pada hari sejuk. Tetapi setelah matahari terbit, belalang itu segera terbang menghilang; tiada seorang pun tahu ke mana kawanan belalang itu pergi!
18 Hai raja Asyur! Para gabenormu sudah mati dan para pembesarmu tertidur untuk selama-lamanya. Rakyatmu tercerai-cerai di pergunungan, dan tiada seorang pun dapat membawa mereka pulang semula.
19 Kecedaraanmu tidak dapat diubati dan luka-lukamu tidak dapat disembuhkan. Semua orang yang mendengar berita kehancuranmu bertepuk tangan kerana sukacita. Tidak seorang pun dapat menyelamatkan diri daripada kekejamanmu yang tidak henti-henti.