9 Tebe memerintah negeri Etiopia dan Mesir; kuasanya tidak terbatas. Libia menjadi sekutu Tebe.
10 Meskipun begitu, penduduk Tebe ditawan dan dibuang negeri. Di setiap sudut jalan, anak-anak mereka dipukul sehingga mati. Para pembesar mereka dirantai lalu dibahagi-bahagikan antara orang yang menangkap mereka.
11 Hai Niniwe, engkau pun akan mabuk. Engkau juga akan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada musuh.
12 Semua kubumu akan menjadi seperti pokok ara yang buahnya sudah masak. Apabila pokok itu digoncang, buahnya akan terus jatuh ke dalam mulut orang yang ingin memakannya.
13 Askarmu lemah seperti perempuan dan negerimu terdedah, tidak berkawal di hadapan musuh. Api akan menghanguskan palang pintu gerbangmu.
14 Timbalah air untuk persediaan selama engkau dikepung. Kuatkanlah kubu-kubumu! Injak-injaklah tanah liat untuk membuat batu bata, dan sediakanlah acuan-acuannya!
15 Apa pun yang engkau buat akan sia-sia sahaja, kerana engkau pasti akan dibakar sehingga mati atau dibunuh dalam pertempuran. Engkau akan lenyap seperti tanaman yang dilahap belalang.Engkau sudah berkembang biak seperti belalang!