Pengkhutbah 1 BM

Hidup Manusia Sia-Sia

1 Berikut ini kata-kata Si Pemikir, raja di Yerusalem. Baginda putera Raja Daud.

2 Semuanya sia-sia dan tidak berguna, kata Si Pemikir. Hidup itu sia-sia, semuanya tidak bererti.

3 Orang bekerja dan membanting tulang seumur hidup, tetapi apakah hasil yang dapat dibanggakan?

4 Keturunan yang satu datang dan keturunan yang lain pergi, tetapi dunia ini tetap sama juga.

5 Matahari terbit dan matahari terbenam, lalu tergesa-gesa kembali ke tempat terbitnya.

6 Angin bertiup ke selatan dan ke utara, berpusing-pusing lalu kembali semula.

7 Tiap-tiap sungai mengalir ke laut, namun laut tidak penuh. Airnya kembali ke hulu sungai, lalu mulai mengalir lagi.

8 Semuanya menjemukan, tidak terkata. Mata tidak puas-puas melihat, telinga tidak puas-puas mendengar.

9 Hal yang telah berlaku dahulu, akan berulang lagi. Apa yang telah dilakukan dahulu, akan dilakukan lagi. Tiada sesuatu yang baru di seluruh dunia ini.

10 “Lihatlah,” kata orang, “yang ini baru!” Tetapi semua itu telah berlaku lama sebelum kita dilahirkan.

11 Tiada sesiapa pun ingat akan kejadian pada masa lampau; kejadian sekarang dan yang akan datang tidak diingat oleh sesiapa pun pada masa hadapan.

Pengalaman Si Pemikir

12 Aku, Si Pemikir, telah menjadi raja Israel di Yerusalem.

13 Aku bertekad untuk mengkaji dan mempelajari dengan bijaksana segala yang dilakukan di dunia ini.Hidup yang ditentukan oleh Allah bagi manusia di dunia sungguh menyedihkan.

14 Aku telah melihat segala perbuatan orang di dunia, dan sesungguhnya semua itu sia-sia seperti mengejar angin.

15 Yang bengkok tidak dapat diluruskan; yang tidak wujud tidak dapat dihitung.

16 Aku berkata dalam hati, “Aku telah menjadi agung, lebih bijak daripada sesiapa pun yang pernah memerintah Yerusalem sebelum zamanku. Aku tahu akan hikmat dan pengetahuan yang sebenar.”

17 Aku bertekad untuk mengetahui perbezaan antara pengetahuan dan kebodohan, antara hikmat dan kebebalan. Tetapi ternyata aku ini seperti mengejar angin sahaja.

18 Semakin banyak hikmat, semakin banyak kekhuatiran. Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12