12 Pada masa itu Aku akan mengambil pelita dan menggeledah kota Yerusalem. Aku akan menghukum penduduknya yang puas dan yakin dengan diri sendiri, dan yang berkata, ‘TUHAN tidak pernah bertindak begini atau begitu.’
13 Harta mereka akan dirampas dan rumah mereka dimusnahkan. Mereka akan membangun rumah, tetapi tidak mendiaminya. Mereka akan mengusahakan ladang anggur tetapi tidak minum wain, hasil ladang itu.”
14 Hari penghakiman TUHAN sudah dekat, sesungguhnya, hari itu sudah sangat hampir dan akan tiba dengan segera. Hari itu akan penuh kepedihan, sehingga askar-askar yang paling gagah pun akan meraung-raung kerana putus asa.
15 Hari itu hari kemurkaan, hari kesusahan dan kegelisahan, hari kejatuhan dan kemusnahan, hari kegelapan dan kesuraman, hari yang kelam dan berkabut.
16 Sepanjang hari itu akan terdengar bunyi trompet dan pekik perang daripada askar-askar yang menyerang kota-kota berkubu dan menara-menara tinggi.
17 TUHAN berfirman, “Aku akan mendatangkan banyak bencana kepada manusia, sehingga setiap orang akan meraba-raba seperti orang buta. Mereka telah berdosa terhadap Aku, dan sekarang darah mereka akan tercurah seperti air, lalu mayat mereka akan membusuk di tanah.”
18 Pada hari itu, TUHAN akan menunjukkan kemurkaan-Nya, maka segala emas dan perak tidak dapat menyelamatkan mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Nya. Dengan tiba-tiba, Dia akan mencabut nyawa semua orang yang tinggal di bumi.