1 Malanglah Yerusalem, kota derhaka yang suka memberontak terhadap TUHAN dan yang menindas penduduknya sendiri.
2 Kota itu tidak mengendahkan nasihat TUHAN, dan tidak pula menerima tegur ajar-Nya. Kota itu tidak berharap kepada TUHAN dan tidak meminta tolong kepada-Nya.
3 Para pembesar kota itu seperti singa yang mengaum-aum. Hakim-hakimnya seperti serigala lapar yang sangat rakus sehingga sepotong tulang pun tiada yang ditinggalkan untuk esok harinya.
4 Nabi-nabi kota itu tidak bertanggungjawab dan tidak dapat dipercayai; para imam menajiskan apa yang dikhaskan untuk TUHAN dan memutarbalikkan hukum Allah bagi kepentingan mereka sendiri.
5 Tetapi TUHAN masih di kota itu; Dia sentiasa melakukan yang benar dan tidak pernah melakukan yang salah. Setiap pagi Dia pasti memberikan keadilan kepada umat-Nya. Namun orang yang tidak mengenal keadilan di kota itu tetap berbuat jahat tanpa mengenal malu.
6 TUHAN berfirman, “Aku telah melenyapkan banyak bangsa; Aku menghancurkan kota-kota mereka, dan menjadikan tembok serta menara-menara mereka itu reruntuhan. Kota-kota mereka sunyi tanpa penghuni dan jalan-jalan pun lengang; tiada lagi orang yang tinggal di situ.
7 Aku berfikir, ‘Sekarang sudah tentu umat-Ku menghormati Aku dan menerima tegur ajar-Ku. Pasti mereka selalu mengingat pengajaran yang Aku berikan kepada mereka.’ Tetapi nampaknya, mereka lebih giat lagi berbuat jahat daripada sebelumnya.”
8 TUHAN berfirman, “Tetapi awas! Tunggu saja harinya Aku bangkit sebagai saksi untuk menuduh bangsa-bangsa. Aku telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan supaya Aku dapat menimpakan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Ku.
9 Tetapi kemudian Aku akan mengubah hati bangsa-bangsa itu, sehingga mereka berdoa kepada-Ku sahaja dan bukan kepada tuhan-tuhan lain. Semua bangsa itu akan mentaati Aku.
10 Bahkan dari Etiopia yang jauh, umat-Ku yang tercerai-cerai itu akan datang dan mempersembahkan korban kepada-Ku.
11 Pada masa itu, hai umat-Ku, kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana telah memberontak terhadap Aku. Aku akan menyingkir setiap orang yang sombong dan angkuh; kamu tidak akan memberontak lagi terhadap Aku di bukit-Ku yang suci.
12 Orang yang hina dan yang rendah hati akan Kubiarkan tinggal di sana. Mereka akan datang meminta tolong kepada-Ku.
13 Orang Israel yang terselamat tidak akan berbuat jahat kepada sesiapa pun; mereka tidak akan berdusta dan tidak menipu. Mereka akan makmur dan aman; mereka tidak akan takut kepada sesiapa pun.”
14 Hai umat Israel,hendaklah kamu bersorak dan bernyanyi!Hai penduduk Yerusalem,hendaklah kamu bergembira dengan segenap hati!
15 TUHAN sudah berhenti menghukum kamu;Dia telah mengusir semua musuh kamu.TUHAN, raja Israel, menyertai kamu;tiada lagi yang menakutkan kamu.
16 Akan tiba masanya orang berkata kepada Yerusalem,“Hai Bukit Sion, jangan takut dan jangan putus asa.
17 TUHAN, Allah kamu menyertai kamu;kamu menang kerana kuasa-Nya.TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu;Dia memberi kamu hidup barukerana Dia mengasihi kamu.Kamu menyukakan hati-Nya,maka Dia akan menyanyi dengan gembira,
18 seperti orang yang sedang berpesta.”TUHAN berfirman,“Aku tidak lagi membiarkan kamu ditimpa bencana;Aku tidak lagi membiarkan kamu dihina.
19 Masanya akan tiba;Aku akan menghukum penindas kamu.Aku menyelamatkan orang tempang,dan membawa pulang orang yang dibuang.Aku akan menyebabkan orang menghormati mereka,sehingga di seluruh dunia,mereka tidak lagi dihina.
20 Masanya akan tiba;Aku akan membawa pulang orang yang tercerai-cerai;Aku akan menjadikan kamu termashyur di seluruh bumi,dan menjadikan kamu makmur sekali lagi.”TUHAN telah berfirman.