Hagai 1 BM

Perintah TUHAN untuk Membina Semula Rumah TUHAN

1 Pada tahun kedua pemerintahan Darius sebagai raja Persia, pada hari pertama bulan keenam, TUHAN berfirman melalui Nabi Hagai. Perkhabaran TUHAN itu ditujukan kepada Zerubabel anak Sealtiel, gabenor Yehuda, dan juga kepada Imam Agung Yosua anak Yozadak.

2 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada Hagai, “Bangsa ini berkata bahawa belum masanya untuk membina semula Rumah-Ku.”

3 Kemudian dengan perantaraan Nabi Hagai, TUHAN berfirman kepada umat-Nya,

4 “Hai umat-Ku, mengapa kamu tinggal di dalam rumah mewah, sedangkan Rumah-Ku masih reruntuhan?

5 Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kamu!

6 Kamu sudah menabur banyak benih, namun tuaian kamu sedikit. Kamu mempunyai makanan, tetapi tidak cukup untuk mengenyangkan kamu. Kamu mempunyai wain, tetapi tidak cukup untuk memuaskan hati. Kamu mempunyai pakaian, tetapi tidak cukup untuk memanaskan badan. Upah yang diterima kaum buruh tidak cukup untuk menyara hidup mereka.

7 Tidakkah kamu sedar mengapa segala perkara itu berlaku?

8 Sekarang, naiklah ke bukit-bukit untuk mengambil kayu balak, lalu binalah semula Rumah-Ku. Maka Aku akan berkenan kepada kamu, dan Aku akan disembah lagi dengan cara yang sepatutnya.

9 Kamu mengharapkan tuaian banyak, tetapi yang kamu dapat sedikit sekali. Apabila kamu membawa tuaian itu pulang, Aku meniupnya sehingga habis dibawa angin. Mengapa Aku melakukan hal itu? Aku melakukannya kerana Rumah-Ku masih reruntuhan, sedangkan kamu semua sibuk membina rumah masing-masing.

10 Itulah sebabnya hujan tidak turun sehingga tiada tanaman yang dapat tumbuh.

11 Aku sudah mendatangkan kemarau ke negeri ini sehingga bukit, ladang gandum, ladang anggur, kebun zaitun dan segala tumbuhan di negeri ini menjadi kering. Manusia, haiwan, dan segala tanaman kamu ditimpa kemarau.”

Umat Israel Mentaati Perintah TUHAN

12 Kemudian Zerubabel dan Yosua serta segenap umat Israel yang sudah kembali dari pembuangan di Babilonia, mentaati kata-kata Nabi Hagai, utusan TUHAN itu. Mereka melakukan apa yang diperintahkan TUHAN kepada mereka, kerana mereka takut akan TUHAN.

13 Kemudian Hagai menyampaikan firman TUHAN kepada mereka bahawa TUHAN sudah berjanji akan menyertai mereka.

14 Demikianlah TUHAN menggerakkan hati Zerubabel, gabenor Yehuda itu, Imam Agung Yosua, dan semua orang yang sudah kembali dari pembuangan supaya membina Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah mereka.

15 Mereka mula bekerja pada hari kedua puluh empat bulan keenam dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius.

Bab

1 2