5 Aku akan membinasakan sesiapa sahaja yang naik ke bumbung untuk menyembah matahari, bulan dan bintang-bintang. Aku juga akan membinasakan orang yang menyembah Aku dan bersumpah setia kepada-Ku, tetapi juga bersumpah demi nama Dewa Milkom.
6 Aku akan membinasakan orang yang telah meninggalkan Aku dan tidak lagi mengikut Aku; mereka yang tidak datang kepada-Ku dan tidak minta bimbingan daripada-Ku.”
7 Hari TUHAN sudah hampir. Pada hari itu Dia akan menghakimi orang; oleh itu berdiam dirilah di hadapan-Nya. TUHAN sedang bersedia untuk membantai umat-Nya seperti binatang disembelih untuk korban, dan Dia telah menjemput musuh untuk menjarah Yehuda.
8 TUHAN berfirman, “Pada hari pembantaian itu, Aku akan menghukum para pembesar, putera-putera raja, dan semua orang yang mengamalkan adat resam bangsa asing.
9 Aku akan menghukum semua orang yang beribadat seperti orang yang tidak mengenal Aku, dan yang mencuri serta membunuh untuk memenuhi rumah majikan mereka dengan barang-barang jarahan.”
10 TUHAN berfirman, “Pada hari itu, kamu akan mendengar tangisan di Gerbang Ikan di Yerusalem. Suara ratapan akan kedengaran dari perkampungan baru di kota itu dan bunyi dentum yang kuat akan bergema dari bukit-bukit.
11 Merataplah dan menangislah apabila kamu mendengar semua itu, hai penduduk kota di bahagian bawah, kerana semua pedagang telah mati.