4 Tiada sesiapa lagi yang tinggal di kota Gaza. Kota Askelon akan ditinggalkan. Penduduk Asdod akan diusir dalam setengah hari, dan penduduk Ekron akan dihalau dari kota mereka.
5 Malanglah kamu, hai orang Filistin, bangsa yang tinggal di kawasan pantai. TUHAN telah menentukan hukuman bagi kamu. Dia akan membinasakan kamu, dan tiada seorang pun yang akan terselamat.
6 Tanah kamu di tepi laut akan menjadi padang rumput; gubuk gembala dan kandang domba akan dibina di situ.
7 Penduduk Yehuda yang terselamat akan menduduki tanah kamu. Mereka akan menggembalakan ternakan di situ, lalu pada malam hari mereka akan tidur di rumah-rumah di kota Askelon. TUHAN, Allah mereka akan menyertai mereka dan menjadikan mereka makmur semula.
8 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku telah mendengar bangsa Moab dan Amon menghina serta mengejek umat-Ku. Mereka bercakap besar kerana mereka akan merampas tanah umat-Ku.
9 Demi Aku TUHAN yang hidup, Allah yang disembah Israel, Aku bersumpah bahawa Moab dan Amon akan dimusnahkan seperti Sodom dan Gomora. Negeri-negeri itu akan dipenuhi perigi garam dan selama-lamanya menjadi puing-puing, yang ditumbuhi semak duri. Umat-Ku yang terselamat akan menjarah harta penduduk negeri-negeri itu lalu merampas tanah mereka.”
10 Demikianlah penduduk Moab dan Amon akan dihukum kerana kesombongan dan keangkuhan mereka, dan juga kerana penghinaan mereka terhadap umat TUHAN Yang Maha Kuasa.