Zefanya 2:9-15 BM

9 Demi Aku TUHAN yang hidup, Allah yang disembah Israel, Aku bersumpah bahawa Moab dan Amon akan dimusnahkan seperti Sodom dan Gomora. Negeri-negeri itu akan dipenuhi perigi garam dan selama-lamanya menjadi puing-puing, yang ditumbuhi semak duri. Umat-Ku yang terselamat akan menjarah harta penduduk negeri-negeri itu lalu merampas tanah mereka.”

10 Demikianlah penduduk Moab dan Amon akan dihukum kerana kesombongan dan keangkuhan mereka, dan juga kerana penghinaan mereka terhadap umat TUHAN Yang Maha Kuasa.

11 TUHAN akan menyebabkan mereka sangat ketakutan. Dia akan menghancurkan dewa-dewa di bumi. Kemudian semua bangsa akan beribadat kepada TUHAN, masing-masing di negeri sendiri.

12 TUHAN juga akan menjatuhkan hukuman mati kepada penduduk Etiopia.

13 Selepas itu TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya untuk menghancurkan Asyur. Kota Niniwe akan dijadikan tempat yang sunyi sepi dan gurun yang tandus.

14 Di situ ternakan dan semua jenis haiwan akan berbaring. Burung hantu akan bersarang di reruntuhan itu dan berteriak-teriak dari jendela. Burung gagak akan menggauk-gauk di ambang-ambang pintu. Kayu sedar pada bangunan-bangunan kota itu akan habis ditanggalkan.

15 Itulah yang akan terjadi pada kota yang riang gembira itu dan yang menganggap dirinya aman tenteram. Penduduknya menyangka bahawa kota mereka itulah kota yang terbesar di dunia. Betapa sepinya daerah itu, tiada penghuninya kecuali binatang hutan yang bersarang di situ! Tiap-tiap orang yang lalu di kota itu akan menghinanya dan berasa ngeri.