5 Tetapi TUHAN masih di kota itu; Dia sentiasa melakukan yang benar dan tidak pernah melakukan yang salah. Setiap pagi Dia pasti memberikan keadilan kepada umat-Nya. Namun orang yang tidak mengenal keadilan di kota itu tetap berbuat jahat tanpa mengenal malu.
6 TUHAN berfirman, “Aku telah melenyapkan banyak bangsa; Aku menghancurkan kota-kota mereka, dan menjadikan tembok serta menara-menara mereka itu reruntuhan. Kota-kota mereka sunyi tanpa penghuni dan jalan-jalan pun lengang; tiada lagi orang yang tinggal di situ.
7 Aku berfikir, ‘Sekarang sudah tentu umat-Ku menghormati Aku dan menerima tegur ajar-Ku. Pasti mereka selalu mengingat pengajaran yang Aku berikan kepada mereka.’ Tetapi nampaknya, mereka lebih giat lagi berbuat jahat daripada sebelumnya.”
8 TUHAN berfirman, “Tetapi awas! Tunggu saja harinya Aku bangkit sebagai saksi untuk menuduh bangsa-bangsa. Aku telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan supaya Aku dapat menimpakan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Ku.
9 Tetapi kemudian Aku akan mengubah hati bangsa-bangsa itu, sehingga mereka berdoa kepada-Ku sahaja dan bukan kepada tuhan-tuhan lain. Semua bangsa itu akan mentaati Aku.
10 Bahkan dari Etiopia yang jauh, umat-Ku yang tercerai-cerai itu akan datang dan mempersembahkan korban kepada-Ku.
11 Pada masa itu, hai umat-Ku, kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana telah memberontak terhadap Aku. Aku akan menyingkir setiap orang yang sombong dan angkuh; kamu tidak akan memberontak lagi terhadap Aku di bukit-Ku yang suci.