Titus 2 BMDC

Asas Kepercayaan yang Benar

1 Tetapi engkau, Titus, harus mengajarkan apa yang sesuai dengan asas kepercayaan yang benar.

2 Nasihatilah orang lelaki yang tua supaya bijaksana, bersifat baik, dan tahu mengawal diri. Mereka juga harus sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan.

3 Demikian juga, nasihatilah wanita yang tua supaya kelakuan mereka sesuai dengan kelakuan wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. Mereka tidak boleh mengumpat atau menjadi kaki botol. Mereka mesti mengajarkan apa yang baik.

4 Dengan demikian wanita yang tua dapat mendidik wanita yang muda supaya mengasihi suami dan anak-anak,

5 tahu mengawal diri, suci dan menjadi suri rumah yang baik, serta taat kepada suami. Dengan demikian tidak ada orang yang dapat mencela perkhabaran daripada Allah.

6 Begitu juga, gesalah orang muda supaya mengawal diri.

7 Hendaklah engkau menjadi teladan kelakuan yang baik dalam segala perkara. Hendaklah engkau jujur dan bersungguh-sungguh, apabila engkau mengajar.

8 Gunakanlah kata-kata bijak yang tidak dapat dicela orang, supaya musuhmu malu kerana tidak dapat mengecam kita.

9 Abdi harus menurut perintah tuan mereka dan menyenangkan hati mereka dalam segala hal. Abdi tidak boleh membantah

10 ataupun mencuri. Sebaliknya abdi mesti sentiasa bersikap baik dan setia, supaya dengan perbuatan mereka itu orang memuji ajaran tentang Allah, Penyelamat kita.

11 Hal itu demikian, kerana Allah sudah menunjukkan rahmat-Nya untuk menyelamatkan umat manusia.

12 Rahmat-Nya mengajar kita supaya hidup salih dan tidak mengejar hal-hal keduniaan. Di dalam dunia ini kita harus hidup dengan mengawal diri, jujur, dan menghormati Allah.

13 Sekarang kita sedang menantikan Hari yang kita harap-harapkan itu, apabila keagungan Allah Maha Besar dan Yesus Kristus Penyelamat kita akan kelihatan.

14 Dia sudah mengorbankan nyawa untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, dan menjadikan kita milik-Nya sahaja, serta menjadikan kita rajin berbuat baik.

15 Ajarkanlah semua perkara itu, dan dengan penuh wibawa hendaklah engkau menggalakkan dan menegur para pendengarmu. Janganlah biarkan seorang pun memandang rendah kepadamu.

Bab

1 2 3