Titus 3 BMDC

Kelakuan Orang Kristian

1 Ingatkan anggota jemaahmu supaya taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka dan bersedia melakukan segala perkara yang baik.

2 Beritahu jemaahmu supaya tidak mengumpat ataupun bertengkar dengan sesiapa pun, tetapi bersikap ramah tamah dan lemah lembut kepada semua orang.

3 Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat, dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci.

4 Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita.

5 Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita.

6 Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita,

7 supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan.

8 Kata-kata itu sungguh benar.Aku mahu engkau memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, supaya orang yang percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang.

9 Tetapi jauhkanlah diri daripada perdebatan yang sia-sia, senarai nenek moyang, pertengkaran, dan perkelahian tentang Taurat. Semua itu sia-sia dan tidak berguna.

10 Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan perpecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia.

11 Engkau tahu bahawa orang seperti itu jahat dan dosa-dosanya membuktikan dia bersalah.

Petunjuk-Petunjuk Terakhir

12 Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, berusahalah seboleh-bolehnya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah mengambil keputusan akan tinggal di sana pada musim sejuk.

13 Berusahalah seboleh-bolehnya untuk menolong Zenas, peguam itu dan Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan. Pastikanlah mereka tidak kekurangan apa-apa.

14 Hendaklah jemaah kita mengamalkan perbuatan baik supaya dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian hidup mereka berguna.

15 Semua saudara yang bersama-sama aku mengirim salam kepadamu. Sampaikanlah salam kami kepada sahabat-sahabat kita yang seiman.Semoga Allah memberkati kamu semua.

Bab

1 2 3