4 Gadis itu sangat cantik. Dia melayani raja dan menjaga baginda, tetapi raja tidak bersetubuh dengan gadis itu.
5-6 Selepas Absalom meninggal, Adonia, putera Raja Daud dan Hagit, menjadi putera yang tertua. Adonia seorang pemuda yang sangat kacak. Raja Daud, ayahandanya, tidak pernah memarahi Adonia walaupun dia berbuat salah. Adonia ingin sekali menjadi raja. Oleh itu dia melengkapi dirinya dengan kereta kuda, pasukan berkuda, dan lima puluh orang sebagai pengawal peribadinya.
7 Adonia berunding dengan Yoab (ibu Yoab bernama Zeruya) dan Imam Abyatar. Kedua-dua mereka bersetuju untuk menyokong Adonia.
8 Tetapi Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, Nabi Natan, Simei, Rei, dan pengawal peribadi Raja Daud tidak berpihak kepada Adonia.
9 Pada suatu hari Adonia mempersembahkan korban domba, lembu jantan, dan anak lembu yang gemuk. Semua korban itu dipersembahkan di Batu Ular, dekat mata air En-Rogel. Adonia menjemput putera-putera Raja Daud yang lain, dan para pegawai raja dari Yehuda ke jamuan itu,
10 tetapi dia tidak menjemput Salomo adik tirinya, Nabi Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja.
11 Kemudian Nabi Natan pergi berjumpa dengan Batsyeba, ibu Salomo, dan bertanya kepadanya, “Belumkah permaisuri mendengar bahawa Adonia anak Hagit, telah mengangkat dirinya sendiri sebagai raja? Tetapi Raja Daud tidak tahu tentang hal itu!