1 Raja-Raja 20 BMDC

Berperang dengan Siria

1 Pada suatu hari Raja Benhadad, raja negeri Siria mengumpulkan semua pasukan tenteranya. Raja Benhadad dibantu oleh tiga puluh dua orang raja lain bersama dengan kuda dan kereta kuda mereka. Kemudian Raja Benhadad maju dan mengepung, serta menyerang kota Samaria.

2 Raja Benhadad mengirim beberapa orang utusan kepada Raja Ahab, raja Israel, di kota itu dengan pesan, “Raja Benhadad menuntut

3 supaya raja menyerahkan perak dan emas raja, isteri-isteri, serta anak-anak raja yang terkuat kepada baginda.”

4 Raja Ahab menjawab, “Katakanlah kepada baginda Raja Benhadad bahawa beta bersetuju. Baginda boleh memiliki beta dan segala harta beta.”

5 Kemudian utusan-utusan itu kembali kepada Raja Ahab dan menyampaikan satu lagi tuntutan daripada Raja Benhadad, “Dahulu Raja Benhadad menuntut supaya tuanku menyerahkan perak dan emas tuanku, isteri-isteri serta anak-anak tuanku.

6 Tetapi sekarang baginda akan menyuruh para pahlawannya menggeledah istana tuanku dan rumah-rumah pegawai tuanku. Mereka akan mengambil segala yang dianggap berharga oleh mereka. Mereka akan datang kira-kira pada waktu ini esok.”

7 Raja Ahab memanggil semua pemimpin negerinya lalu bertitah, “Lihatlah, orang itu hendak membinasakan kita. Orang itu mengirim berita kepada beta dan menuntut supaya isteri-isteri dan anak-anak beta, perak serta emas beta diserahkan kepadanya, dan beta bersetuju.”

8 Tetapi para pemimpin dan rakyat menjawab, “Jangan hiraukan orang itu, jangan tunduk kepada tuntutannya!”

9 Oleh itu Raja Ahab bertitah kepada para utusan itu, “Katakan kepada tuanku raja bahawa beta bersetuju dengan tuntutannya yang pertama, tetapi beta tidak bersetuju dengan tuntutan yang kedua.”Para utusan itu pergi, lalu kembali lagi dan menyampaikan titah

10 daripada Raja Benhadad, “Raja hamba sekalian akan datang dengan cukup banyak askar untuk memusnahkan kota tuanku, sehingga mereka dapat membawa debu dari puing-puing kota dalam tangan mereka. Baginda bersumpah agar dewa-dewa membunuh baginda jika baginda tidak melakukan hal itu!”

11 Raja Ahab menjawab, “Katakanlah kepada Raja Benhadad bahawa seorang askar yang sejati membanggakan kebesarannya setelah pertempuran, bukan sebelumnya!”

12 Raja Benhadad menerima jawapan Raja Ahab itu ketika baginda dan raja-raja sekutunya sedang minum-minum di perkhemahan mereka. Raja Benhadad memerintah tenteranya bersiap untuk berperang, lalu mereka pun bersedia.

13 Sementara itu, seorang nabi menghadap Raja Ahab dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Jangan takut kepada pasukan tentera yang besar itu! Pada hari ini Aku akan memberikan kemenangan kepadamu dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”

14 “Siapakah yang akan mengetuai serangan?” tanya Raja Ahab.Nabi itu menjawab, “Menurut firman TUHAN, askar-askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah akan mengetuai serangan.”“Tetapi siapakah yang akan memulakan serangan?” tanya raja.“Tuanku!” jawab nabi itu.

15 Oleh itu raja memanggil semua askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah, jumlahnya 232 orang askar. Setelah itu baginda memanggil pula tentera Israel dan jumlahnya 7,000 orang.

16 Serangan itu bermula pada tengah hari ketika Raja Benhadad dan tiga puluh dua orang raja sekutunya sedang mabuk di perkhemahan mereka.

17 Askar-askar muda itu bertempur dahulu. Apabila pengintip yang disuruh Raja Benhadad melaporkan bahawa ada sepasukan askar datang dari Samaria,

18 Raja Benhadad bertitah, “Tangkaplah mereka hidup-hidup, sama ada mereka datang untuk berperang ataupun untuk berdamai!”

19 Askar-askar muda itu mengetuai serangan, diikuti oleh tentera Israel,

20 dan masing-masing membunuh musuh yang dilawannya. Tentera negeri Siria lari sambil dikejar tentera Israel. Tetapi Raja Benhadad terlepas daripada serangan itu. Dia melarikan diri dengan menunggang seekor kuda, diiringi oleh beberapa orang askar berkuda.

21 Raja Ahab juga keluar bertempur dan memusnahkan kuda serta kereta kuda musuh, sehingga orang Siria kalah teruk.

22 Kemudian nabi itu menghadap Raja Ahab dan berkata, “Pulanglah dan perkuatlah semula tentera tuanku. Buatlah perancangan yang baik, kerana pada musim bunga tahun depan, raja negeri Siria akan menyerang tuanku lagi.”

Serangan Kedua dari Negeri Siria

23 Para pegawai Raja Benhadad berkata kepadanya, “Tuhan-tuhan Israel itu tuhan-tuhan gunung. Itulah sebabnya mereka dapat mengalahkan kita. Tetapi kita pasti mengalahkan mereka jika kita bertempur di tanah rata.

24 Sekarang gantikanlah tiga puluh dua orang raja itu dengan panglima.

25 Lalu kumpulkanlah pasukan tentera sebesar pasukan yang meninggalkan tuanku dahulu. Sediakanlah kuda dan kereta kuda yang bilangannya sama seperti dahulu. Kita akan menentang tentera Israel di tanah rata, dan pasti kita akan mengalahkan mereka.”Raja Benhadad bersetuju dan menurut nasihat mereka.

26 Pada musim bunga berikutnya, Raja Benhadad mengerah tenteranya dan maju bersama dengan mereka ke Afek untuk menyerang Israel.

27 Tentera Israel juga dikerah dan dilengkapi senjata. Mereka maju, lalu berkhemah dalam dua pasukan yang bertentangan dengan orang Siria. Tentera Israel nampaknya kecil, hanya seperti dua kawanan kambing jika dibandingkan dengan tentera Siria yang membanjiri kawasan itu.

28 Seorang nabi menghadap Raja Ahab dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN: ‘Oleh sebab orang Siria mengatakan bahawa Aku hanya berkuasa di gunung dan tidak berkuasa di tanah rata, Aku akan memberi engkau kemenangan terhadap tentera mereka yang besar sekali bilangannya. Engkau dan rakyatmu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”

29 Selama tujuh hari tentera Siria dan tentera Israel tinggal di perkhemahan mereka, berhadapan dengan satu sama lain. Pada hari ketujuh, mereka mula berperang dan tentera Israel membunuh 100,000 orang askar Siria.

30 Askar yang terlepas dari situ lari ke kota Afek, dan di kota itu seramai 27,000 orang lagi ditimpa tembok kota itu.Raja Benhadad juga lari ke dalam kota itu dan berlindung di bilik belakang sebuah rumah.

31 Para pegawai Raja Benhadad menghadapnya dan berkata, “Hamba sekalian mendengar bahawa raja-raja Israel berbelas kasihan. Benarkanlah hamba semua menghadap raja Israel dengan memakai kain guni pada pinggang kami sebagai tanda penyesalan, dan tali pada leher kami sebagai tanda takluk. Semoga raja itu menyelamatkan nyawa tuanku.”

32 Oleh itu mereka memakai kain guni pada pinggang dan tali pada leher mereka lalu menghadap Raja Ahab. Mereka berkata, “Hamba tuanku, Raja Benhadad memohon supaya tuanku menyelamatkan nyawanya.”Raja Ahab bertitah, “Adakah baginda masih hidup? Baiklah! Baginda seolah-olah saudara beta sendiri!”

33 Para pegawai Raja Benhadad memang sedang menunggu tanda baik. Oleh itu apabila Raja Ahab menyebut “saudara,” mereka mengambil peluang itu lalu berkata, “Sebagaimana titah tuanku, Raja Benhadad ialah saudara tuanku!”Raja Ahab memberikan perintah, “Bawalah baginda kepada beta.” Apabila Raja Benhadad tiba, Raja Ahab mengajak Raja Benhadad naik ke kereta kudanya.

34 Raja Benhadad bertitah kepadanya, “Kota-kota yang dahulu direbut oleh ayahanda beta daripada ayahanda tuanku, akan beta kembalikan kepada tuanku. Tuanku boleh mendirikan pusat perdagangan di Damsyik seperti yang dahulu didirikan oleh ayahanda beta di Samaria.”Raja Ahab menjawab, “Dengan syarat-syarat ini beta akan membebaskan raja.” Mereka membuat satu persetujuan, lalu Raja Ahab membenarkan Raja Benhadad berangkat.

Seorang Nabi Menyalahkan Raja Ahab

35 Atas perintah TUHAN, seorang daripada sekumpulan nabi menyuruh seorang nabi lain memukul dia, tetapi nabi itu enggan.

36 Oleh itu nabi yang pertama tadi berkata kepada nabi itu, “Kerana engkau tidak taat kepada perintah TUHAN, seekor singa akan menerkam engkau sebaik sahaja engkau meninggalkan aku.” Maka sebaik sahaja nabi itu pergi, seekor singa menerkam dia.

37 Kemudian nabi yang pertama itu pergi kepada orang lain dan berkata, “Pukullah aku!” Orang ini memukul dia dengan begitu kuat sehingga nabi itu luka.

38 Nabi itu membalut mukanya dengan kain dan menyamar sebagai orang lain. Dia duduk di pinggir jalan dan menantikan raja Israel lalu di situ.

39 Ketika raja lalu, nabi itu memanggilnya dan berkata, “Tuanku, ketika hamba berperang, ada orang membawa seorang tawanan kepada hamba. Orang itu berkata, ‘Jagalah orang ini! Jika dia lari, kamu mesti membayarnya dengan nyawamu, atau didenda sebanyak tiga ribu keping perak.’

40 Tetapi hamba sibuk dengan hal-hal lain, sehingga orang itu lari.”Raja menjawab, “Kamu telah menjatuhkan hukuman kepada dirimu sendiri. Oleh itu kamu mesti membayarnya.”

41 Nabi itu mengoyakkan kain yang membalut mukanya, lalu pada saat itu juga raja mengenali dia sebagai seorang nabi.

42 Lalu nabi itu berkata kepada raja, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Oleh sebab orang yang Aku perintahkan supaya dibunuh itu telah engkau biarkan lari, sekarang engkau mesti membayarnya dengan nyawamu sendiri, dan tenteramu akan musnah kerana engkau membiarkan tentera musuh melarikan diri.’ ”

43 Kemudian Raja Ahab pulang ke Samaria dengan hati yang kesal dan murka.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22