15 Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Zimri memerintah Israel di Tirza selama tujuh hari. Pada masa itu tentera Israel sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin.
16 Apabila mereka mendengar bahawa Raja Zimri telah mengadakan pakatan jahat dan membunuh raja, pada masa itu juga mereka melantik Omri, panglima tentera mereka, menjadi raja Israel.
17 Omri dan pasukannya meninggalkan Gibeton lalu menyerang Tirza.
18 Apabila Raja Zimri melihat bahawa kota itu telah dikalahkan, baginda masuk ke dalam kubu di sebelah dalam istana. Kemudian baginda membakar istana itu, dan baginda mangkat dalam kebakaran itu.
19 Hal ini berlaku kerana dosa Raja Zimri terhadap TUHAN. Seperti Raja Yerobeam, raja yang terdahulu, Raja Zimri juga membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana dosanya sendiri, dan kerana menyebabkan umat Israel berdosa.
20 Segala perbuatan Raja Zimri, termasuk pakatan jahat yang dilakukannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
21 Orang Israel terbahagi kepada dua pihak; ada yang mahu Tibni anak Ginat menjadi raja, dan ada pula yang mahu Omri menjadi raja.