12 Balu itu menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, Allah yang tuan sembah, saya bersumpah bahawa saya tidak mempunyai roti. Saya hanya mempunyai segenggam tepung gandum di dalam mangkuk dan sedikit minyak zaitun di dalam botol. Saya sedang mengumpulkan sedikit kayu api untuk dibawa pulang supaya saya dapat memasak bahan yang tinggal itu untuk saya dan anak saya. Itulah makanan kami yang terakhir; setelah itu kami akan menunggu maut sahaja.”
13 Elia berkata kepadanya, “Jangan khuatir. Pergilah sediakan makananmu. Tetapi sebelum itu, mula-mula buatlah roti daripada tepung dan minyak itu dan hantarlah kepada saya. Kemudian buatlah roti untukmu dan anakmu,
14 kerana demikianlah Firman TUHAN, Allah Israel, ‘Tepung di dalam mangkuk itu tidak akan habis dan minyak di dalam botol itu tidak akan berkurang sehingga tiba saatnya Aku, TUHAN, menurunkan hujan.’ ”
15 Balu itu pergi dan melakukan apa yang disuruh oleh Elia. Mereka bertiga mempunyai cukup makanan berhari-hari lamanya.
16 Tepung di dalam mangkuk itu tidak habis-habis, dan minyak di dalam botol itu tidak berkurang menurut firman TUHAN melalui Elia.
17 Beberapa waktu kemudian, anak lelaki balu itu jatuh sakit. Penyakitnya bertambah teruk, dan akhirnya dia meninggal.
18 Balu itu berkata kepada Elia, “Hai hamba Allah, mengapakah tuan melakukan hal ini kepada saya? Adakah tuan datang untuk mengingatkan Allah akan dosa saya, lalu menyebabkan kematian anak saya?”