1 Raja-Raja 18:21-27 BMDC

21 Elia menghadap umat itu dan berkata, “Sampai bilakah kamu tetap mendua hati? Jika TUHAN itu Allah, sembahlah TUHAN; tetapi jika Baal itu Allah, sembahlah Baal!” Tetapi umat itu tidak menjawab apa-apa.

22 Lalu Elia berkata, “Nabi TUHAN hanya tinggal saya seorang, sedangkan nabi Baal ada empat ratus lima puluh orang.

23 Bawalah dua ekor lembu jantan; biarlah nabi-nabi Baal mengambil seekor, menyembelihnya, memotong-motongnya, lalu meletakkannya di atas kayu api, tetapi jangan nyalakan api. Saya juga akan berbuat demikian dengan lembu jantan yang seekor lagi.

24 Biarlah nabi-nabi Baal berdoa kepada dewa mereka, dan saya akan berdoa kepada TUHAN. Yang menjawab dengan mengirim api, Dialah Allah.”Dengan suara yang kuat segenap rakyat berseru bahawa mereka bersetuju.

25 Selepas itu Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab kamu banyak, biarlah kamu yang menyiapkan lembu jantan itu dahulu. Berdoalah kepada dewa kamu, tetapi jangan nyalakan api pada kayu itu.”

26 Mereka mengambil seekor lembu jantan yang telah diberikan kepada mereka, menyiapkannya, lalu berdoa kepada Baal sehingga tengah hari. Mereka berseru, “Jawablah kami, ya Baal!” Mereka berbuat demikian sambil menari-nari di sekeliling mazbah yang telah dibina, tetapi tidak ada jawapan.

27 Pada tengah hari, Elia mula mengolok-olok mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi!” katanya. “Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!”