25 Selepas itu Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab kamu banyak, biarlah kamu yang menyiapkan lembu jantan itu dahulu. Berdoalah kepada dewa kamu, tetapi jangan nyalakan api pada kayu itu.”
26 Mereka mengambil seekor lembu jantan yang telah diberikan kepada mereka, menyiapkannya, lalu berdoa kepada Baal sehingga tengah hari. Mereka berseru, “Jawablah kami, ya Baal!” Mereka berbuat demikian sambil menari-nari di sekeliling mazbah yang telah dibina, tetapi tidak ada jawapan.
27 Pada tengah hari, Elia mula mengolok-olok mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi!” katanya. “Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!”
28 Oleh itu, nabi-nabi Baal berdoa dengan lebih kuat lagi. Mereka juga meluka-lukai badan dengan pedang dan tombak menurut adat mereka, sehingga darah bercucuran.
29 Mereka terus bergembar-gembur sehingga jauh petang, tetapi tidak ada yang menjawab, dan tidak ada bunyi yang terdengar.
30 Kemudian Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekat dengan saya.” Lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Elia mula memperbaiki mazbah TUHAN yang telah rosak itu.
31 Dia mengambil dua belas buah batu, setiap batu mewakili salah satu daripada dua belas suku keturunan Yakub, iaitu orang yang diberikan nama Israel oleh TUHAN.