38 Kemudian TUHAN menurunkan api dari langit dan membakar korban itu bersama dengan kayu api, batu, dan tanah sehingga air di parit itu kering.
39 Apabila umat nampak kejadian itu, mereka bersujud sambil berkata, “TUHAN ialah Allah; TUHAN satu-satunya Allah!”
40 Lalu Elia memberikan perintah, “Tangkaplah nabi-nabi Baal; jangan biar seorang pun melarikan diri!” Mereka menangkap semua nabi itu. Elia membawa mereka ke Sungai Kison lalu membunuh mereka.
41 Kemudian Elia berkata kepada Raja Ahab, “Pergilah makan, kerana hamba mendengar deru hujan yang segera datang.”
42 Sementara Raja Ahab pergi makan, Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana dia bersujud sampai ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.
43 Dia berkata kepada hambanya, “Naiklah, lihatlah ke arah laut.”Hamba itu pergi, lalu kembali dan berkata, “Saya tidak nampak apa-apa.” Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut.
44 Apabila dia kembali pada kali ketujuh, dia berkata, “Saya nampak awan sekecil tapak tangan orang naik dari laut.”Elia menyuruh hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab. Suruhlah baginda mengendarai kereta kudanya dan berangkat pulang, sebelum baginda dihalangi hujan.”