40 Lalu Elia memberikan perintah, “Tangkaplah nabi-nabi Baal; jangan biar seorang pun melarikan diri!” Mereka menangkap semua nabi itu. Elia membawa mereka ke Sungai Kison lalu membunuh mereka.
41 Kemudian Elia berkata kepada Raja Ahab, “Pergilah makan, kerana hamba mendengar deru hujan yang segera datang.”
42 Sementara Raja Ahab pergi makan, Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana dia bersujud sampai ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.
43 Dia berkata kepada hambanya, “Naiklah, lihatlah ke arah laut.”Hamba itu pergi, lalu kembali dan berkata, “Saya tidak nampak apa-apa.” Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut.
44 Apabila dia kembali pada kali ketujuh, dia berkata, “Saya nampak awan sekecil tapak tangan orang naik dari laut.”Elia menyuruh hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab. Suruhlah baginda mengendarai kereta kudanya dan berangkat pulang, sebelum baginda dihalangi hujan.”
45 Tidak lama kemudian, langit penuh dengan awan hitam dan angin kencang pun mula bertiup, lalu hujan lebat turun. Raja Ahab menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel.
46 Pada masa itu kuasa TUHAN turun atas Elia; dia mengikat pakaiannya pada pinggang, lalu berlari mendahului Raja Ahab sepanjang jalan sampai ke pintu gerbang kota Yizreel.