6 Mereka menentukan daerah yang dijelajahi masing-masing, lalu mereka pergi ke arah yang berlainan.
7 Di tengah perjalanan, Obaja bertemu dengan Elia. Dia mengenali Elia dan bersujud di hadapannya, lalu bertanya, “Betulkah tuan ini, Elia?”
8 “Betul, sayalah Elia,” jawabnya. “Pergilah beritahu raja, tuanmu, bahawa saya berada di sini.”
9 Obaja menjawab, “Apakah kesalahan saya sehingga tuan membahayakan nyawa saya dan menyebabkan saya dibunuh oleh Raja Ahab?
10 Demi TUHAN yang hidup, Allah tuan, saya bersumpah bahawa raja telah mencari tuan di tiap-tiap negeri di bumi ini. Apabila penguasa dari sesuatu negeri melaporkan bahawa tuan tidak ada di negerinya, Raja Ahab meminta supaya penguasa itu bersumpah bahawa tuan tidak ditemui di negerinya.
11 Sekarang tuan mahu saya pergi memberitahu raja bahawa tuan berada di sini.
12 Bagaimanakah jika Roh TUHAN membawa tuan ke tempat lain yang tidak diketahui orang, sebaik saja saya meninggalkan tempat ini? Apabila saya memberitahu raja bahawa tuan berada di sini dan raja tidak dapat mencari tuan, raja akan membunuh saya. Ingatlah, saya sungguh-sungguh beribadat kepada TUHAN sejak saya masih muda.