10 Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!”
11 TUHAN berfirman kepadanya, “Keluarlah dari gua itu dan berdirilah di hadapan-Ku di puncak gunung.” Kemudian TUHAN lalu di sana. Angin ribut yang membelah gunung dan memecah bukit batu mendahului TUHAN, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam angin ribut itu. Setelah angin ribut itu berhenti, gempa berlaku, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam gempa itu.
12 Selepas itu, api datang, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam api itu. Kemudian suasana menjadi senyap, lalu terdengar suatu suara yang lembut bagaikan bisikan.
13 Apabila Elia mendengar suara itu, dia menutup muka dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di mulut gua itu. Kemudian terdengarlah suara berkata kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?”
14 Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!”
15 TUHAN berfirman kepadanya, “Kembalilah ke padang gurun dekat Damsyik. Masuklah ke kota dan lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria.
16 Lakukanlah hal yang sama kepada Yehu anak Nimsi supaya dia menjadi raja Israel, dan juga kepada Elisa anak Safat dari Abel-Mehola supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau.