5 Dia berbaring di bawah pokok itu lalu tertidur. Tiba-tiba malaikat menyentuh dia dan berkata, “Bangunlah, dan makanlah.”
6 Elia melihat di sekelilingnya dan nampak seketul roti bakar dan sebuah kendi berisi air dekat kepalanya. Dia makan dan minum, lalu berbaring semula.
7 Malaikat TUHAN kembali dan membangunkannya sekali lagi. Katanya, “Bangunlah dan makanlah, supaya engkau tahan dalam perjalanan yang jauh.”
8 Elia bangun dan makan; makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama empat puluh hari ke Gunung Sinai, tempat Allah menyatakan diri.
9 Di sana dia bermalam di dalam sebuah gua.Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?”
10 Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!”
11 TUHAN berfirman kepadanya, “Keluarlah dari gua itu dan berdirilah di hadapan-Ku di puncak gunung.” Kemudian TUHAN lalu di sana. Angin ribut yang membelah gunung dan memecah bukit batu mendahului TUHAN, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam angin ribut itu. Setelah angin ribut itu berhenti, gempa berlaku, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam gempa itu.