1 Samuel 10 BMDC

1 Kemudian Samuel mengambil sebuah botol berisi minyak zaitun, lalu menuang minyak itu ke atas kepala Saul. Dia mencium Saul dan berkata, “TUHAN melantik kamu menjadi raja Israel, umat-Nya. Kamu akan memerintah umat-Nya dan melindungi mereka daripada semua musuh. Inilah buktinya bahawa TUHAN sudah melantik kamu sebagai raja umat-Nya:

2 Selepas kamu meninggalkan saya hari ini, kamu akan berjumpa dengan dua orang lelaki dekat kubur Rahel di Zelzah, di wilayah Benyamin. Mereka akan berkata kepadamu begini, ‘Keldai-keldai yang kamu cari itu sudah dijumpai. Sekarang bapamu tidak lagi khuatir tentang keldai-keldai itu, tetapi terus-menerus bertanya apa yang harus dilakukannya untuk menjumpai kamu.”

3 Samuel berkata lagi, “Dari situ, teruskanlah perjalananmu sehingga kamu sampai ke pokok tempat ibadat di Tabor. Di sana kamu akan bertemu dengan tiga orang lelaki yang sedang pergi ke Betel untuk mempersembahkan korban kepada Allah. Seorang daripada mereka menggiring tiga ekor anak kambing, seorang lagi membawa tiga ketul roti, dan seorang lagi membawa kirbat kulit yang penuh dengan wain.

4 Mereka akan memberikan salam kepadamu dan memberi kamu dua ketul roti yang harus kamu terima.

5 Selepas itu pergilah ke bukit Allah di Gibea. Di sana ada perkhemahan orang Filistin. Di pintu masuk kota, kamu akan berjumpa dengan sekumpulan orang nabi yang turun dari bukit, tempat mazbah itu. Mereka bermain gambus, rebana, seruling, dan kecapi. Mereka menari-nari dan berteriak-teriak.

6 Pada saat itu juga Roh TUHAN akan menguasai kamu, dan kamu akan diberikan sifat baru, lalu kamu akan mengikut mereka menari-nari dan berteriak-teriak.

7 Apabila hal itu terjadi, buatlah apa saja yang kamu rasa baik, kerana Allah menyertaimu.

8 Selepas itu kamu harus pergi ke Gilgal lebih awal daripada saya, dan tunggu di sana selama tujuh hari. Kemudian saya akan datang untuk mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk memohon berkat TUHAN, serta memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan.”

9 Sebaik sahaja Samuel meninggalkan Saul, Allah memberi Saul sifat yang baru. Segala perkara yang diberitahukan Samuel kepadanya berlaku pada hari itu juga.

10 Ketika Saul dan hambanya tiba di Gibea, Saul ditemui oleh sekumpulan orang nabi. Pada saat itu juga Roh Allah menguasai Saul, lalu dia mengikut nabi-nabi itu menari dan berteriak.

11 Orang yang mengenal Saul sejak dahulu, melihat kelakuannya lalu bertanya satu sama lain, “Apakah yang sudah terjadi kepada anak Kish itu? Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?”

12 Kemudian seorang yang tinggal di situ bertanya, “Bagaimana dengan nabi-nabi yang lain itu - pada fikiran kamu siapakah bapa mereka?” Itulah asal mulanya pepatah ini, “Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?”

13 Setelah Saul menari-nari dan berteriak-teriak, dia pergi ke mazbah di atas bukit.

14 Bapa saudara Saul nampak Saul dan hambanya, lalu bertanya kepada mereka, “Dari manakah kamu?”“Kami pergi mencari keldai yang hilang,” jawab Saul. “Tetapi apabila kami tidak dapat mencarinya, kami pergi berjumpa dengan Samuel.”

15 “Apa kata Samuel?” tanya bapa saudaranya.

16 “Katanya, keldai-keldai itu sudah ditemui,” jawab Saul. Tetapi Saul tidak memberitahu bapa saudaranya bahawa Samuel sudah melantik Saul menjadi raja.

Saul Dipilih Menjadi Raja

17 Kemudian Samuel memanggil umat Israel berkumpul di hadapan TUHAN di Mizpa.

18 Dia berkata kepada mereka, “Demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir, dan membebaskan kamu daripada bangsa itu dan bangsa-bangsa lain yang menindas kamu.

19 Akulah Allah kamu yang melepaskan kamu daripada segala kesengsaraan dan penderitaan. Tetapi sekarang kamu telah menolak Aku, Allah kamu, kerana kamu minta Aku melantik seorang raja bagi kamu. Baiklah, berkumpullah di hadapan-Ku, TUHAN kamu, suku demi suku dan puak demi puak.’ ”

20 Kemudian Samuel menyuruh tiap-tiap suku maju ke depan, lalu suku Benyamin yang terpilih.

21 Samuel menyuruh semua keluarga Benyamin maju, lalu keluarga Matri yang terpilih. Apabila anggota keluarga Matri menghadap seorang demi seorang, Saul anak Kish yang terpilih. Mereka mencari Saul tetapi dia tidak ada di sana.

22 Oleh itu mereka bertanya kepada TUHAN, “Ya TUHAN, adakah orang itu sudah di sini?”TUHAN menjawab, “Saul bersembunyi di belakang barang-barang.”

23 Oleh itu mereka berlari dan membawa Saul ke tengah-tengah rakyat. Apabila Saul berdiri di tengah-tengah rakyat, mereka nampak bahawa dialah yang paling tinggi; orang lain hanya sampai bahunya.

24 Kemudian Samuel berkata kepada rakyat, “Inilah orang yang dipilih oleh TUHAN. Tiada seorang pun di kalangan kita yang sama dengan dia.”Segenap umat itu bersorak, “Daulat tuanku!”

25 Kemudian Samuel menjelaskan tentang hak dan kewajipan raja, lalu menulisnya di dalam sebuah buku. Dia menyimpan buku itu di suatu tempat yang suci. Kemudian Samuel menyuruh umat itu pulang ke rumah masing-masing.

26 Raja Saul juga pulang ke rumahnya di Gibea, diiringi oleh beberapa orang yang gagah perkasa. TUHAN sudah menggerakkan hati mereka untuk mengiringi Raja Saul.

27 Tetapi ada beberapa orang jahat yang berkata, “Mana mungkin orang ini akan berguna bagi kita?” Mereka menghina Raja Saul dan tidak memberikan hadiah kepadanya, tetapi Raja Saul berpura-pura tidak tahu.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31