1 Sementara itu orang Filistin berperang dengan orang Israel di Gunung Gilboa. Banyak orang Israel terbunuh di situ. Orang Israel yang lain, termasuk Raja Saul dan putera-puteranya melarikan diri.
2 Tetapi orang Filistin mengejar mereka dan membunuh tiga orang putera Raja Saul, iaitu Yonatan, Abinadab, dan Malkisua.
3 Pertempuran ketika itu amat sengit di sekeliling Raja Saul sehingga baginda sendiri luka parah dipanah oleh musuh.
4 Raja Saul bertitah kepada pembawa senjatanya, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah beta, supaya jangan orang Filistin yang tidak mengenal Allah ini mempermainkan beta, dan membunuh beta.” Tetapi pembawa senjata itu tidak berani melakukannya. Oleh itu Raja Saul menghunus pedangnya dan menikam dirinya sendiri.
5 Apabila pembawa senjata itu nampak bahawa Raja Saul sudah mangkat, dia juga menikam dirinya sendiri lalu mati bersama-sama Raja Saul.
6 Demikianlah Raja Saul dan tiga orang puteranya mangkat, dan juga pembawa senjata itu, dan semua anak buah Raja Saul meninggal pada hari itu.
7 Apabila orang Israel yang di seberang Lembah Yizreel dan di sebelah timur Sungai Yordan mendengar bahawa tentera Israel telah melarikan diri, dan bahawa Raja Saul dan putera-puteranya sudah dibunuh, mereka pun meninggalkan kota-kota mereka lalu lari. Kemudian orang Filistin datang dan menduduki kota-kota itu.
8 Keesokan harinya, orang Filistin menjarah barang-barang pada jenazah orang Israel. Kemudian mereka menjumpai jenazah Raja Saul dan tiga orang puteranya di Gunung Gilboa.
9 Mereka memenggal kepala Raja Saul dan mengambil baju perangnya. Kemudian orang Filistin mengirim utusan ke seluruh negeri Filistin untuk menyampaikan khabar baik itu kepada berhala-berhala dan rakyat mereka.
10 Kemudian baju perang Raja Saul itu disimpan di dalam kuil Dewi Asytoret, dan badannya dipakukan pada tembok kota Bet-Sean.
11 Apabila penduduk Yabes di Gilead mendengar hal yang sudah dilakukan oleh orang Filistin terhadap Raja Saul,
12 beberapa orang yang paling berani berangkat dan berjalan sepanjang malam ke Bet-Sean. Mereka menurunkan jenazah Raja Saul dan putera-puteranya dari tembok kota, lalu membawanya kembali ke Yabes, dan membakar jenazah-jenazah itu di sana.
13 Kemudian mereka mengumpulkan tulang-tulangnya dan mengembumikannya di bawah pokok tamariska di kota Yabes, lalu mereka berpuasa selama tujuh hari.