1 Samuel 11:1-7 BMDC

1 Kemudian Raja Nahas, raja negeri Amon, mengerah tenteranya lalu mengepung kota Yabes di kawasan Gilead. Penduduk Yabes mengajukan cadangan kepada Raja Nahas, “Buatlah perjanjian dengan hamba sekalian, maka hamba semua akan menerima raja sebagai pemerintah hamba sekalian.”

2 Raja Nahas bertitah, “Beta akan membuat perjanjian dengan kamu dengan satu syarat: beta akan mencungkil biji mata kanan setiap orang untuk mempermalukan segenap umat Israel.”

3 Kemudian para pemimpin kota Yabes berkata, “Berilah hamba sekalian masa tujuh hari untuk mengirim berita ke seluruh negeri Israel. Jika tiada sesiapa yang dapat menolong hamba sekalian, maka hamba semua akan menyerah kepada tuanku.”

4 Para utusan itu sampai di Gibea, tempat tinggal Raja Saul. Apabila berita itu disampaikan, semua penduduk di situ mula menangis kerana putus asa.

5 Pada masa itu Raja Saul baru sahaja pulang dari ladang bersama dengan lembu-lembunya. Baginda bertanya, “Ada apa? Mengapa semua orang menangis?” Dengan segera baginda diberitahu berita yang dibawa oleh para utusan dari Yabes.

6 Ketika Raja Saul mendengar berita itu, Roh Allah menguasai baginda, lalu baginda menjadi murka.

7 Raja Saul mengambil dua ekor lembu lalu memotong-motongnya menjadi banyak potongan. Kemudian baginda menyuruh beberapa orang membawa potongan-potongan lembu itu ke seluruh negeri Israel dengan perintah, “Sesiapa yang tidak ikut Raja Saul dan Samuel berperang, lembunya akan dipotong-potong seperti ini!”Umat Israel takut akan apa yang mungkin dilakukan TUHAN, maka semua orang, tanpa seorang pun yang terkecuali, maju bersama-sama untuk berperang.