1 Kemudian Daud lari dari Nayot dekat Rama, lalu pergi berjumpa dengan Yonatan. Dia bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah aku lakukan? Apakah kesalahanku? Apakah dosaku terhadap bapamu sehingga bapamu hendak membunuh aku?”
2 Yonatan menjawab, “Jangan berkata begitu! Demi Allah, engkau tidak akan dibunuh! Bapaku selalu memberitahu aku segala rancangannya, yang mustahak mahupun yang tidak mustahak. Dia tidak pernah merahsiakan apa pun terhadap aku. Perkara itu tidak benar!”
3 Daud menjawab, “Bapamu tahu engkau sangat mengasihi aku. Oleh itu bapamu tidak memberitahu engkau apa yang dicadangkannya, supaya engkau tidak bersedih. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa sesungguhnya hidupku diancam maut!”
4 Yonatan berkata, “Aku akan melakukan apa saja permintaanmu.”
5 Daud menjawab, “Begini, esok Perayaan Bulan Baru. Seharusnya aku makan bersama-sama raja. Tetapi jika kamu setuju, aku akan pergi bersembunyi di padang sampai lusa malam.
6 Jika bapamu menanyakan sebabnya aku tidak hadir, katakanlah kepadanya bahawa aku sudah memohon izin daripadamu untuk segera pulang ke Betlehem, kerana di sana diadakan upacara mempersembahkan korban tahunan bagi semua anggota keluargaku.