27 Keesokan harinya, sehari setelah Perayaan Bulan Baru, kerusi Daud masih kosong. Kemudian Raja Saul bertanya kepada Yonatan, “Mengapa Daud tidak hadir pada jamuan, kelmarin dan hari ini?”
28 Yonatan menjawab, “Dia sudah minta izin kepada saya untuk pergi ke Betlehem.
29 ‘Benarkanlah aku pergi,’ katanya, ‘kerana keluargaku sedang merayakan pesta mempersembahkan korban di Betlehem, dan aku disuruh datang oleh abangku. Oleh itu jika kamu izinkan, biarlah aku pergi untuk bertemu dengan sanak saudaraku.’ Itulah sebabnya dia tidak hadir pada jamuan ini, ayah.”
30 Setelah mendengar hal itu Raja Saul sangat murka terhadap Yonatan. Raja Saul bertitah, “Anak haram jadah! Sekarang beta tahu bahawa engkau memihak kepada Daud. Engkau mempermalukan bondamu dan dirimu sendiri.
31 Tidak tahukah engkau bahawa selama Daud hidup, engkau tidak mungkin menjadi raja negeri ini? Sekarang suruhlah orang mencari dia dan membawanya ke mari, kerana dia mesti mati!”
32 Yonatan menjawab, “Mengapakah dia mesti mati? Apakah dosanya?”
33 Ketika itu juga Raja Saul melemparkan tombak ke arah Yonatan untuk membunuh dia. Oleh itu Yonatan sedar bahawa ayahandanya sungguh-sungguh berniat untuk membunuh Daud.