29 ‘Benarkanlah aku pergi,’ katanya, ‘kerana keluargaku sedang merayakan pesta mempersembahkan korban di Betlehem, dan aku disuruh datang oleh abangku. Oleh itu jika kamu izinkan, biarlah aku pergi untuk bertemu dengan sanak saudaraku.’ Itulah sebabnya dia tidak hadir pada jamuan ini, ayah.”
30 Setelah mendengar hal itu Raja Saul sangat murka terhadap Yonatan. Raja Saul bertitah, “Anak haram jadah! Sekarang beta tahu bahawa engkau memihak kepada Daud. Engkau mempermalukan bondamu dan dirimu sendiri.
31 Tidak tahukah engkau bahawa selama Daud hidup, engkau tidak mungkin menjadi raja negeri ini? Sekarang suruhlah orang mencari dia dan membawanya ke mari, kerana dia mesti mati!”
32 Yonatan menjawab, “Mengapakah dia mesti mati? Apakah dosanya?”
33 Ketika itu juga Raja Saul melemparkan tombak ke arah Yonatan untuk membunuh dia. Oleh itu Yonatan sedar bahawa ayahandanya sungguh-sungguh berniat untuk membunuh Daud.
34 Dengan marah sekali Yonatan meninggalkan meja makan dan dia tidak makan apa-apa pada hari kedua Perayaan Bulan Baru itu. Dia sangat gelisah memikirkan Daud yang sudah dihina oleh Raja Saul, ayahandanya.
35 Keesokan paginya Yonatan pergi ke padang untuk menjumpai Daud sebagaimana yang telah dirancangkan bersama. Dia membawa seorang budak lelaki, iaitu hambanya, bersama dengan dia.