26 TUHAN sudah mencegah tuan membalas dendam dan membunuh musuh tuan. Sekarang saya bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa musuh tuan dan semua orang yang hendak berbuat jahat terhadap tuan akan dihukum seperti Nabal.
27 Terimalah pemberian yang saya bawa ini untuk tuan dan anak buah tuan.
28 Ampunkanlah kesalahan saya. Tentu TUHAN akan menjadikan tuan serta keturunan tuan raja Israel, kerana tuan berperang bagi TUHAN; tuan tidak akan melakukan apa-apa kejahatan seumur hidup.
29 Seandainya ada seseorang yang menyerang tuan dan cuba membunuh tuan, maka tentu TUHAN Allah akan melindungi tuan seperti seorang menjaga hartanya yang sangat berharga. Tetapi musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh TUHAN, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali.
30 TUHAN akan melakukan segala kebaikan yang dijanjikan-Nya kepada tuan, dan tidak lama lagi tuan akan dijadikan-Nya raja Israel.
31 Pada waktu itu tuan akan ingat bahawa tuan tidak membunuh tanpa alasan atau membalas dendam. Oleh itu tuan tidak perlu berasa sedih atau menyesal. Apabila TUHAN memberkati tuan kelak, janganlah lupa akan hamba tuan ini.”
32 Kemudian Daud berkata kepadanya, “Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini!