14 Kemudian Daud berteriak kepada Abner dan tentera Raja Saul, “Hai Abner, dapatkah kamu mendengar suaraku?”Abner bertanya, “Siapakah kamu yang berteriak-teriak dan membangunkan raja?”
15 Daud menjawab, “Hai Abner, bukankah kamu orang yang paling hebat di seluruh Israel? Mengapa kamu tidak melindungi raja tuanmu? Baru saja ada orang masuk ke dalam perkhemahan untuk membunuh tuanmu.
16 Tetapi kamu tidak menjalankan tugas. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup, hai Abner, bahawa kamu semua tidak layak hidup. Kamu tidak melindungi tuanmu yang sudah dilantik menjadi raja oleh TUHAN. Lihatlah! Di manakah tombak raja? Di mana pula kendi yang terletak di sebelah kepalanya?”
17 Raja Saul mengenali suara Daud, lalu dia bertanya, “Daud, kamukah itu, anakku?”“Ya, tuanku,” jawab Daud.
18 Daud berkata lagi, “Mengapakah tuanku masih mengejar hamba tuanku ini? Apakah yang sudah hamba lakukan? Apakah kesalahan hamba?
19 Tuanku, dengarlah kata-kata hamba. Sekiranya TUHAN yang menyuruh tuanku supaya melawan hamba, suatu persembahan korban akan dapat meredakan kemurkaan-Nya terhadap hamba. Tetapi sekiranya yang menyuruh tuanku itu manusia, semoga mereka dikutuk oleh TUHAN! Akibat perbuatan mereka itu, hamba sudah diusir dari tanah milik TUHAN dan terpaksa pergi ke negeri lain. Di sana hamba harus beribadat kepada dewa-dewa asing.
20 Janganlah biarkan hamba mati di negeri orang, jauh daripada TUHAN. Mengapakah raja Israel hendak membunuh hamba yang sehina kutu ini? Mengapakah tuanku mahu memburu hamba seperti orang memburu ayam hutan?”