5 Kamu mesti membuat tiruan daripada bengkak-bengkak dan tikus yang sedang mengganas di negeri kamu. Dengan demikian kamu memberikan penghormatan kepada Allah Israel. Mungkin Dia akan berhenti menghukum kamu, dewa, dan tanah kamu.
6 Apa gunanya kamu berkeras kepala seperti raja Mesir dan rakyatnya dahulu? Jangan lupa cara Allah mempermainkan mereka, sampai mereka jera lalu membiarkan umat Israel meninggalkan Mesir.
7 Oleh sebab itu, sediakanlah sebuah pedati yang baru dan dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, dan yang belum pernah digunakan untuk menarik pedati. Tambatlah kedua-dua ekor lembu itu pada pedati itu, lalu giringlah anak-anak lembu itu kembali ke dalam kandang.
8 Kemudian ambillah Tabut Perjanjian TUHAN, naikkannya ke atas pedati, dan di sebelahnya letakkanlah peti yang berisi benda-benda emas yang harus kamu persembahkan kepada TUHAN untuk menebus dosa kamu. Biarlah pedati dan lembu itu berjalan sendiri.
9 Perhatikanlah ke mana lembu itu pergi; jika Tabut Perjanjian itu dibawa ke arah negeri asalnya, ke kota Bet-Semes, hal itu bererti bahawa Allah orang Israel sudah mendatangkan bencana yang dahsyat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju ke sana, kita akan tahu bahawa bencana itu bukan daripada Allah Israel, melainkan kebetulan saja.”
10 Orang Filistin itu menurut; mereka mengambil kedua-dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, lalu menambat kedua-dua ekor lembu itu pada pedati, sedangkan anak-anak lembu itu dikurung di dalam kandang.
11 Kemudian Tabut Perjanjian itu dinaikkan ke atas pedati, bersama dengan peti yang berisi tikus tiruan daripada emas dan bengkak-bengkak tiruan daripada emas itu.