20 Jangan khuatir tentang keldai yang hilang tiga hari dahulu. Keldai-keldai itu sudah dijumpai. Lagipun, yang paling diingini oleh umat Israel ialah kamu; kamu dan keluarga bapamu.”
21 Saul menjawab, “Saya ini daripada suku Benyamin, suku yang terkecil di Israel, dan keluarga sayalah yang paling tidak penting dalam suku itu. Mengapa tuan berkata begitu kepada saya?”
22 Kemudian Samuel mengajak Saul dan hambanya ke dalam sebuah ruangan yang besar. Samuel memberikan tempat yang utama kepada mereka di hadapan para jemputan, yang berjumlah kira-kira tiga puluh orang.
23 Samuel berkata kepada tukang masak, “Hidangkanlah daging yang aku berikan kepadamu, yang aku suruh kamu simpan.”
24 Kemudian tukang masak membawa daging terbaik daripada daging paha lalu menghidangkannya kepada Saul. Samuel berkata, “Inilah bahagian yang sudah aku simpan untukmu, supaya kamu dapat makan bersama-sama para jemputan yang lain. Silalah makan.”Oleh itu Saul makan bersama-sama Samuel pada hari itu.
25 Selepas itu mereka pergi dari tempat ibadat lalu masuk ke kota. Saul diberikan tempat tidur di atas bumbung rumah,
26 lalu dia tidur di situ.Apabila fajar menyingsing, Samuel memanggil Saul yang berada di atas bumbung rumah, “Bangunlah,” katanya. “Saya hendak menghantar kamu pergi.” Saul bangun, lalu berangkat bersama-sama Samuel.