1 Dengan pimpinan Tuhan, Yudas Makabe dan para pengikutnya merebut Rumah Allah dan kota Yerusalem semula.
2 Mereka membongkar mazbah-mazbah yang telah dibuat oleh orang asing di lapangan awam dan menghancurkan tempat-tempat pemujaan lain.
3 Kemudian mereka menyucikan Rumah Tuhan dan mendirikan sebuah mazbah baru. Mereka membuat api dengan batu dan mempersembahkan korban untuk pertama kalinya sesudah dua tahun. Mereka juga membakar kemenyan, menyalakan pelita-pelita dan menaruh roti sajian.
4 Sesudah itu mereka sujud dan berdoa kepada Tuhan supaya mereka tidak lagi ditimpa malapetaka seperti yang lalu. Mereka memohon supaya Tuhan menghukum mereka dengan murah hati kalau mereka berdosa lagi, dan tidak menyerahkan mereka kepada orang asing yang biadab dan suka mengutuk.
5 Pada tarikh dua puluh lima bulan Kislew Rumah Tuhan disucikan semula, tepat pada tarikh dan bulan yang sama ketika Rumah itu dicemarkan oleh orang asing.
6 Lalu diadakan perayaan gembira selama lapan hari seperti Perayaan Pondok Daun. Mereka mengingat kembali bagaimana pada waktu Perayaan Pondok Daun tidak lama dahulu, mereka mengembara di pergunungan dan tinggal di gua seperti binatang liar.
7 Tetapi sekarang mereka berarak dengan membawa dahan cemara dan ranting-ranting hijau dan daun palma, sambil menyanyikan lagu-lagu pujian bagi Tuhan yang menyucikan Rumah-Nya semula.
8 Lalu mereka dengan sebulat suara memutuskan bahawa setiap tahun, hari itu harus dirayakan oleh seluruh bangsa Yahudi.
9 Begitulah yang terjadi pada saat-saat akhir hayat Raja Antiokhus Epifanes.
10 Sekarang kami menceritakan tentang Raja Antiokhus Eupator, putera Raja Antiokhus Epifanes, penjahat itu, dan kami memberikan ringkasan tentang malapetaka yang disebabkan oleh segala peperangan baginda.
11 Sesudah menaiki takhta, Raja Antiokhus Eupator melantik seorang bernama Lisias menjadi perdana menteri dan gabenor Siria Besar dan Fenisia.
12 Dia menggantikan Ptolemeus Makron, gabenor pertama yang berusaha untuk memperlakukan orang Yahudi dengan adil. Justeru kerana segala kekejaman yang telah ditimpakan kepada orang Yahudi, Ptolemeus mengusahakan perdamaian dengan mereka.
13 Akibatnya dia diadukan kepada Raja Eupator oleh beberapa orang sahabat raja. Setiap kali dia mendengar dirinya disebut sebagai pengkhianat, kerana telah meninggalkan pulau Siprus yang dipercayakan kepadanya oleh Raja Filometor, raja Mesir, dan memihak kepada Raja Antiokhus Epifanes. Akhirnya dia tidak dapat lagi memegang jawatannya dengan cara yang terhormat, maka dia membunuh diri dengan minum racun.
14 Sesudah Gorgias menjadi gabenor Siria Besar dan Fenisia, dia memelihara suatu pasukan upahan, dan pada setiap kesempatan dia mengadakan peperangan melawan orang Yahudi.
15 Selain itu orang Idumea juga menguasai kubu-kubu yang penting dan terus-menerus mengganggu orang Yahudi. Mereka menampung orang pelarian dari Yerusalem dan terus berusaha untuk mengobarkan peperangan.
16 Oleh sebab itu Yudas Makabe dan pengikut-pengikutnya, setelah berdoa memohon pertolongan Tuhan, menyerbu kubu-kubu orang Idumea.
17 Mereka melancarkan serangan hebat, memukul mundur orang yang mempertahankan tembok, lalu merebut kubu-kubu itu dengan membunuh sesiapa sahaja yang jatuh ke tangan mereka. Dengan demikian mereka menumpas tidak kurang daripada 20,000 orang.
18 Tetapi lebih kurang 9,000 orang musuh melarikan diri ke dalam dua buah kubu yang sangat kuat dan mempunyai segala yang diperlukan untuk menghadapi pengepungan.
19 Yudas sendiri terpaksa pergi ke tempat-tempat lain yang lebih memerlukan bantuannya. Maka ditinggalkannya Simon dan Yusuf serta Zakheus dan anak buahnya. Pasukan itu cukup besar untuk meneruskan pengepungan.
20 Tetapi beberapa orang anak buah Simon berasa tamak, dan apabila menerima wang rasuah sebanyak 200 kilogram perak, mereka membiarkan beberapa orang musuh melepaskan diri dari kubu-kubu itu.
21 Apabila mendengar hal itu, Yudas mengumpulkan para pemimpin pasukannya dan menuduh semua orang itu menjual saudara-saudara mereka dengan membebaskan musuh untuk memerangi mereka.
22 Dia memberi perintah supaya para pengkhianat itu dibunuh, dan seterusnya kedua-dua buah kubu itu ditawannya.
23 Yudas yang selalu berjaya dalam pertempuran, membunuh lebih daripada 20,000 orang di dalam kedua-dua buah kubu itu.
24 Timotius yang pernah dikalahkan oleh orang Yahudi, telah membentuk satu pasukan yang sangat besar, yang terdiri daripada askar-askar upahan. Dia juga mengumpulkan sejumlah besar tentera berkuda dari Asia. Lalu dia maju hendak merebut Yudea dengan kekuatan senjata.
25 Apabila tentera musuh sudah mendekati, Yudas dan pasukannya berdoa kepada Allah dengan memakai kain guni dan menabur debu di atas kepala mereka.
26 Mereka sujud di kaki mazbah dan memohon supaya Allah mengasihani mereka dengan melawan musuh-musuh mereka sebagaimana Dia telah menjanjikannya dalam Taurat-Nya.
27 Setelah berdoa, mereka mengangkat senjata dan pergi agak jauh dari Yerusalem, dan mereka berhenti apabila sudah dekat dengan musuh.
28 Sesudah fajar menyingsing, kedua-dua pasukan itu saling menyerbu. Untuk mencapai kemenangan, tentera Yahudi mempercayakan keberanian mereka dan menaruh harapan mereka kepada Tuhan, sedangkan musuh membiarkan diri dipimpin oleh rasa kemarahan mereka dalam pertempuran.
29 Ketika pertempuran itu menjadi hangat, tampaklah oleh musuh lima orang yang gemilang turun dari langit. Mereka menunggang kuda dengan kekang emas. Kelima-lima orang itu memimpin pasukan Yahudi
30 dan mengelilingi Yudas untuk melindungi dia dengan perlengkapan senjata mereka. Sementara itu mereka menghujani musuh dengan anak panah dan kilat. Musuh menjadi bingung dan hilang akal, sehingga mereka tercerai-cerai dalam keadaan kacau-bilau.
31 Pasukan tentera berjalan kaki sebanyak 20,000 orang dan pasukan tentera berkuda sebanyak 600 orang dibunuh.
32 Tetapi Timotius sendiri melarikan diri ke Gezer, sebuah kubu yang sangat kukuh. Kaireas, saudaranya ialah komandan di kubu itu.
33 Pasukan Yudas dengan penuh semangat mengepung kubu itu selama empat hari.
34 Orang di dalam kubu menaruh kepercayaan kepada kekukuhan tempat mereka dan terus meneriakkan kata-kata kasar mengutuk Allah dan orang Yahudi.
35 Pada waktu fajar hari yang kelima, dua puluh orang anak buah Yudas yang berkobar-kobar dengan kemarahan kerana kata-kata kutukan itu, dengan beraninya menyerbu tembok. Mereka mengamuk seperti binatang buas dan dengan pedang membunuh sesiapa sahaja yang dijumpai oleh mereka.
36 Begitu juga beberapa orang naik ke atas tembok dari arah yang lain dan menyerang orang yang ada di dalam. Mereka membakar beberapa buah menara, menyalakan api dan membakar hidup-hidup orang yang mengkufuri Tuhan. Beberapa orang lain memecah pintu-pintu gerbang, sehingga membolehkan anak buah Yudas yang selebihnya masuk dan merebut kota.
37 Timotius bersembunyi di sebuah perigi kering, tetapi dia dibunuh bersama dengan Kaireas saudaranya dan Apolofanes.
38 Sesudah pertempuran selesai, orang Yahudi mengadakan perayaan dengan menyanyikan puji-pujian dan lagu-lagu syukur bagi Tuhan kerana Dia telah menunjukkan kebaikan-Nya yang besar dan memberikan mereka kemenangan.