1 Dalam piagam, kami menemukan catatan bahawa Nabi Yeremialah yang menyuruh orang yang diangkut ke pembuangan untuk menyembunyikan sedikit api dari mazbah, seperti yang kami tulis di atas.
2 Nabi itu juga yang mengajarkan Taurat Tuhan kepada orang buangan dan menasihati mereka supaya jangan melupakan perintah-perintah itu, dan jangan tersesat apabila melihat patung-patung berhala emas dan perak dengan segala perhiasannya.
3 Dia berpesan dengan kata-kata yang serupa supaya mereka jangan sekali-kali meninggalkan Taurat.
4 Dalam piagam itu dicatatkan juga hal berikut tentang Yeremia: Dengan ilham Tuhan, nabi itu menyuruh supaya Khemah Tuhan dan Tabut Perjanjian dibawa bersama dengan dia ke sebuah gunung. Gunung itulah yang didaki Musa untuk memandang negeri yang dijanjikan Allah kepada bangsa kita.
5 Ketika Yeremia mendaki gunung itu, didapatinya sebuah gua yang besar. Di situ disembunyikannya Khemah Tuhan, Tabut Perjanjian, dan mazbah untuk kemenyan. Kemudian tempat masuk ke gua itu ditutupnya rapat-rapat.
6 Beberapa orang kawan Yeremia pergi ke sana untuk menandai jalannya, tetapi mereka tidak dapat menemukan gua itu.
7 Apabila mendengar hal itu, Yeremia menegur mereka, katanya, ‘Tiada seorang pun boleh tahu tempat itu sehingga Allah mengumpulkan umat-Nya kembali semula dan mengasihani mereka.
8 Pada waktu itu Dia akan menunjukkan tempat benda-benda itu disembunyikan. Cahaya hadirat Tuhan akan kelihatan di awan yang turun seperti yang berlaku pada zaman Musa, dan kemudian pada masa Salomo berdoa supaya Rumah Allah ditahbiskan dengan kemuliaan kepada Tuhan.’
9 Kami juga diberitahu bagaimana Raja Salomo yang bijaksana mempersembahkan korban ketika Rumah Tuhan selesai dibina dan ditahbiskan kepada Allah.
10 Pada waktu raja sedang berdoa, turunlah api dari syurga dan membakar korban-korban, seperti yang terjadi dahulu, ketika Musa sedang berdoa.
11 Menurut Musa, korban untuk mengampunkan dosa itu habis dimakan api kerana tidak dimakan oleh manusia.
12 Raja Salomo merayakan pesta itu selama lapan hari.
13 Peristiwa-peristiwa itu diceritakan juga dalam piagam rasmi dan dalam kitab riwayat hidup Nehemia, bahawa dia menyusun sebuah perpustakaan dengan mengumpulkan berbagai-bagai kitab tentang para raja dan para nabi, karangan-karangan Raja Daud dan surat para raja tentang korban-korban.
14 Demikian juga Yudas telah mengumpulkan semua kitab yang tercerai-cerai kerana peperangan. Semua kitab itu masih ada pada kami.
15 Kalau kamu memerlukannya, utuslah orang untuk mengambilnya.
16 Oleh sebab kami bermaksud merayakan Perayaan Pentahbisan Semula Rumah Allah, kami menulis surat ini supaya kamu juga merayakan perayaan itu.
17 “Allah telah menyelamatkan seluruh bangsa-Nya dan mengembalikan tanah pusaka kita, kerajaan, keimaman dan ibadat di dalam Rumah-Nya kepada kita,
18 seperti yang dijanjikan-Nya di dalam Taurat-Nya. Dia telah membebaskan kita daripada banyak malapetaka dan telah menyucikan Rumah-Nya. Kami yakin Allah akan segera menunjukkan belas kasihan-Nya terhadap kita dan membawa kita sekalian dari segala penjuru bumi untuk berkumpul di Rumah-Nya.”
19 Dalam kitab yang terdiri daripada lima jilid, Yason dari Kirene telah mencatat kisah-kisah Yudas Makabe dan saudara-saudaranya, penyucian Rumah Allah yang agung, serta pentahbisan mazbah-Nya, dan
20 juga tentang peperangan melawan Antiokhus Epifanes dan Eupator puteranya.
21 Dia juga mengisahkan penglihatan-penglihatan dari syurga yang dilihat oleh beberapa orang termasyhur yang berjuang untuk kepentingan umat Yahudi. Tentera kita hanya sedikit jumlahnya, tetapi mereka berhasil merebut kembali seluruh negeri kita dan mengusir pasukan-pasukan asing.
22 Mereka merebut kembali Rumah Tuhan yang termasyhur di seluruh dunia dan membebaskan kota Yerusalem. Mereka juga memulihkan hukum-hukum yang hampir terhapus. Semua itu dapat dilakukan mereka kerana Tuhan baik hati dan mengasihani mereka.
23 Sekarang saya akan mencuba meringkaskan kitab Yason yang terdiri daripada lima jilid itu menjadi satu jilid.
24 Bahan-bahan dan angka-angka yang banyak dan terperinci mungkin menyulitkan orang yang ingin mempelajari kisah-kisah sejarah.
25 Tetapi saya sudah berusaha untuk menyajikan hal-hal yang menarik bagi orang yang suka membaca; hal-hal yang mudah bagi orang yang suka menghafal, dan yang berfaedah bagi semua orang yang mungkin membaca buku ini.
26 Membuat ringkasan seperti ini merupakan tugas sulit yang menuntut kerja keras dan mengurangkan tidur.
27 Pekerjaan ini sama sulitnya dengan menyiapkan suatu perjamuan yang dapat memuaskan tetamu-tetamu. Walaupun begitu, saya rela bersusah payah untuk kemudahan pembaca-pembaca.
28 Tentang penelitian terhadap setiap peristiwa, saya serahkan kepada pengarang asal. Saya sendiri berusaha untuk hanya menumpukan butir-butir terpenting sahaja dalam ringkasan saya.
29 Saya bukan arkitek yang membuat rumah baru dan harus memperhatikan perincian butir-butir pembinaan. Saya hanya seperti tukang ukir dan tukang lukis yang harus mencari apa yang sesuai untuk memperindah rumah itu.
30 Seorang ahli sejarah harus mempelajari dan menyelidiki semua peristiwa, lalu menghuraikannya secara terperinci.
31 Tetapi orang yang hanya membuat ringkasan, harus dibenarkan menyajikan bahan yang ringkas tanpa huraian terperinci.
32 Maka saya bermula sekarang, tanpa memberi ulasan yang lain. Tidak betul untuk memperpanjang pendahuluan, dan mempersingkat kisahnya sendiri.