7 Yudas yang pertama-tama mengangkat senjata, mengajak yang lain ikut dengan dia supaya mempertaruhkan nyawa untuk menolong saudara-saudara mereka. Dengan penuh semangat, berangkatlah mereka bersama-sama.
8 Ketika mereka masih dekat dengan Yerusalem, tampaklah penunggang kuda memimpin barisan mereka. Pakaiannya serba putih dan dia melambaikan senjata yang keemasan.
9 Mereka serentak bersyukur kepada Allah yang berbelas kasihan. Dia menguatkan hati mereka sehingga mereka bersedia menyerbu bukan hanya manusia, tetapi juga binatang yang paling buas dan tembok-tembok besi.
10 Maka majulah mereka dalam keadaan siap tempur, didampingi oleh utusan dari syurga, kerana Allah berbelas kasihan kepada mereka.
11 Lalu seperti singa, mereka menyerbu musuh dan menumpas 11,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 1,600 orang pasukan berkuda, sedangkan yang lain terpaksa melarikan diri.
12 Antara yang melarikan diri itu banyak yang luka-luka dan kehilangan senjata. Lisias sendiri terlepas kerana melarikan diri dengan cara yang memalukan.
13 Lisias bukan orang yang bodoh, maka dia berfikir tentang kekalahan yang baru dideritanya. Dia menyedari bahawa orang Yahudi tidak dapat dikalahkan kerana Allah yang berkuasa berpihak pada mereka. Jadi dia mengirim pesan kepada orang Yahudi