2 Samuel 19 BMDC

Yoab Menunjukkan Kesalahan Raja Daud

1 Yoab diberitahu bahawa Raja Daud sedang meratap dan berkabung bagi Absalom.

2 Oleh itu kegembiraan atas kemenangan pada hari itu berubah menjadi perkabungan bagi semua askar Raja Daud, kerana mereka mendengar bahawa raja berkabung bagi putera baginda.

3 Mereka pulang ke kota dengan senyap, seperti askar yang malu kerana sudah lari dari pertempuran.

4 Raja menyelubungi mukanya dan meratap dengan kuat, “Aduhai anakku! Anakku Absalom! Absalom, anakku!”

5 Yoab pergi menghadap raja di rumahnya dan berkata, “Hari ini tuanku telah mempermalukan anak buah tuanku, padahal merekalah yang menyelamatkan nyawa tuanku, semua putera dan puteri tuanku, dan isteri-isteri, serta gundik-gundik tuanku.

6 Tuanku menentang orang yang mengasihi tuanku tetapi mengasihi orang yang membenci tuanku. Tuanku sudah membuktikan bahawa para pegawai dan askar tuanku sama sekali tidak bererti bagi tuanku. Nampaknya tuanku lebih suka jika Absalom masih hidup dan kami semua mati.

7 Hendaknya tuanku bangkit dan pergi ke luar serta bertitah untuk menenteramkan hati anak buah tuanku. Hamba bersumpah demi nama TUHAN bahawa jika tuanku tidak pergi menemui mereka, esok pagi tiada seorang pun yang akan menyertai tuanku. Hal itu akan merupakan bencana paling dahsyat yang tuanku alami seumur hidup.”

8 Selepas itu raja bangkit dan pergi ke luar, lalu duduk dekat pintu gerbang. Anak buah raja mendengar bahawa raja berada di situ, lalu mereka semua datang menghadap.Sementara itu semua orang Israel telah melarikan diri, dan masing-masing pulang ke rumah.

Raja Daud Kembali ke Yerusalem

9 Semua orang Israel di seluruh negeri bertengkar sesama sendiri. Mereka berkata satu sama lain, “Raja Daud telah menyelamatkan kita daripada musuh. Baginda telah menyelamatkan kita daripada orang Filistin. Tetapi sekarang baginda telah melarikan diri daripada Absalom dan meninggalkan negeri ini.

10 Kita telah melantik Absalom menjadi raja kita, tetapi dia sudah mati dalam pertempuran. Oleh itu mengapa tidak ada seorang pun yang berusaha untuk membawa Raja Daud kembali?”

11 Kata-kata itu sampai kepada Raja Daud. Oleh itu Raja Daud menyuruh Imam Zadok dan Imam Abyatar bertanya kepada para pemimpin Yehuda, “Mengapa kamu yang terakhir menyambut raja dan mengiringi baginda kembali ke istana?

12 Bukankah kamu sanak saudara dan kaum kerabat beta? Mengapa kamu yang terakhir meminta supaya beta pulang?”

13 Raja Daud juga menyuruh mereka berkata kepada Amasa, “Engkau kerabat beta. Mulai sekarang beta melantik engkau menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Biarlah Allah membunuh beta jika hal itu tidak beta lakukan!”

14 Kata-kata Raja Daud itu berjaya mengambil hati semua penduduk Yehuda sehingga mereka mengirim khabar meminta raja dan semua pegawainya kembali ke istana.

15 Kemudian raja berangkat dan sampai di Sungai Yordan. Sementara itu orang Yehuda sudah sampai di Gilgal untuk menyambut raja dan mengawal baginda menyeberang sungai itu.

16 Simei anak Gera, orang Benyamin dari Bahurim tergesa-gesa datang ke sungai itu untuk menemui Raja Daud.

17 Dia membawa seribu orang daripada suku Benyamin bersama-samanya. Ziba, hamba keluarga Raja Saul, juga datang bersama dengan lima belas orang anak lelakinya dan dua puluh orang hamba. Mereka tiba di Sungai Yordan lebih awal daripada raja.

18 Mereka membantu keluarga raja menyeberang sungai dan melakukan segala yang disuruh oleh raja.Apabila raja bersiap-siap untuk menyeberangi sungai, Simei bersujud di hadapannya

Raja Daud Berbaik Hati kepada Simei

19 dan berkata, “Ampun tuanku, hamba mohon kiranya tuanku melupakan kesalahan yang hamba lakukan pada hari tuanku meninggalkan Yerusalem. Tolong jangan anggap hamba masih bersalah, dan jangan ingat akan hal itu lagi.

20 Hamba insaf bahawa hamba sudah berdosa; itulah sebabnya hamba mendahului semua suku dari utara untuk menghadap tuanku hari ini.”

21 Mendengar kata-kata itu Abisai anak Zeruya berkata, “Simei sepatutnya dihukum mati kerana dia telah mengutuk raja yang dipilih oleh TUHAN.”

22 Tetapi Raja Daud bertitah kepada Abisai dan abangnya Yoab, “Jangan masuk campur. Mengapa kamu menyusahkan beta? Pada hari ini beta menjadi raja Israel lagi dan tidak boleh seorang Israel pun dihukum mati.”

23 Kemudian raja bersumpah kepada Simei, “Beta bersumpah bahawa engkau tidak akan dihukum mati.”

Raja Daud Berbaik Hati kepada Mefiboset

24 Selepas itu, Mefiboset, cucu Raja Saul datang menghadap raja. Dia tidak pernah mencuci kaki, atau mencukur janggut, atau mencuci pakaian sejak raja meninggalkan Yerusalem sehingga raja kembali dengan selamat.

25 Apabila Mefiboset datang dari Yerusalem untuk menyambut raja, raja bertitah kepadanya, “Mengapa kamu tidak ikut dengan beta waktu itu, hai Mefiboset?”

26 Mefiboset menjawab, “Tuanku tahu bahawa hamba ini tempang. Hamba menyuruh pelayan hamba untuk memasang pelana pada keldai supaya hamba dapat mengikut tuanku. Tetapi dia mengkhianati hamba.

27 Malahan dia memfitnah hamba terhadap tuanku. Tetapi tuanku seperti malaikat Allah. Oleh itu lakukanlah kepada hamba apa sahaja kehendak tuanku.

28 Semua keluarga ayahanda hamba seharusnya dihukum mati oleh tuanku, tetapi tuanku membenarkan hamba makan di istana. Sekarang hamba tidak berani meminta apa-apa lagi daripada tuanku.”

29 Raja bertitah, “Sudahlah! Beta telah mengambil keputusan bahawa kamu dan Ziba akan mewarisi segala harta Raja Saul.”

30 Tetapi Mefiboset berkata, “Biarlah Ziba mengambil semuanya. Hamba sudah puas hati kerana tuanku telah kembali dengan selamat.”

Raja Daud Berbaik Hati kepada Barzilai

31 Kemudian Barzilai dari Gilead, datang dari Rogelim untuk mengiringi raja menyeberangi Sungai Yordan.

32 Barzilai sudah sangat tua. Dia sudah berumur lapan puluh tahun. Dia kaya raya, dan selama raja tinggal di Mahanaim dahulu, Barzilai yang menyediakan makanan bagi raja.

33 Raja bertitah kepadanya, “Ikutlah beta ke Yerusalem. Nanti beta akan menyediakan segala keperluanmu di sana.”

34 Tetapi Barzilai menjawab, “Hamba tidak akan hidup lama lagi. Apalah gunanya hamba ikut tuanku ke Yerusalem?

35 Hamba sudah berumur lapan puluh tahun dan tiada lagi yang dapat memberikan kesukaan kepada hamba. Hamba tidak lagi dapat menikmati apa yang hamba makan atau minum, dan tidak lagi dapat mendengar suara orang bernyanyi. Hamba hanya akan menjadi beban bagi tuanku.

36 Hamba tidak layak menerima upah yang sebesar itu. Biarlah hamba menghantar tuanku beberapa langkah sahaja di seberang Sungai Yordan.

37 Kemudian biarlah hamba pulang ke rumah dan meninggal dekat kubur ibu bapa hamba. Ini dia Kimham, anak hamba. Benarkanlah dia mengiringi tuanku dan buatlah apa yang tuanku pandang baik baginya.”

38 Raja bertitah, “Baiklah, beta akan membawa Kimham dan melakukan apa saja baginya menurut kehendakmu. Selain itu, beta akan memenuhkan segala permintaanmu.”

39 Kemudian Raja Daud dan semua anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan. Raja Daud mencium Barzilai dan memberkati dia. Kemudian Barzilai pulang ke rumahnya.

Yehuda dan Israel Bertengkar kerana Raja

40 Selepas raja menyeberangi sungai itu, dengan diiringi segenap pasukan Yehuda dan separuh pasukan Israel, raja pergi ke Gilgal. Kimham mengikut Raja Daud.

41 Kemudian semua orang Israel menghadap raja dan bertanya kepadanya, “Tuanku, mengapa saudara kami orang Yehuda menganggap bahawa merekalah yang layak mengajak dan mengiringi tuanku, keluarga tuanku dan semua orang tuanku menyeberangi Sungai Yordan?”

42 Orang Yehuda menjawab, “Kami berbuat demikian kerana raja kerabat kami. Mengapa kamu marah? Raja tidak membiayai makanan kami, ataupun memberi kami hadiah apa-apa.”

43 Orang Israel berkata, “Kami sepuluh kali lebih berhak daripada kamu terhadap Raja Daud. Walaupun raja kerabat kamu, mengapa kamu memandang rendah terhadap kami? Jangan lupa bahawa kamilah yang pertama mencadangkan untuk membawa raja pulang!”Tetapi orang Yehuda lebih kuat mengemukakan hak mereka daripada orang Israel.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24