2 Samuel 7 BMDC

Perkhabaran Natan kepada Raja Daud

1 TUHAN melindungi Raja Daud daripada segala gangguan musuh, sehingga baginda dapat menetap di istananya.

2 Kemudian Raja Daud bertitah kepada Nabi Natan, “Lihatlah, beta tinggal di dalam istana yang diperbuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian Allah disimpan di dalam khemah!”

3 Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku, kerana TUHAN menolong tuanku.”

4 Tetapi malam itu TUHAN berfirman kepada Natan,

5 “Pergilah beritahu hamba-Ku Daud, firman-Ku ini, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku.

6 Sejak Aku menyelamatkan umat Israel dari Mesir sehingga kini, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku mengembara dan tinggal di dalam khemah.

7 Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang Aku pilih, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’

8 Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel.

9 Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia.

10-11 Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan melindungi engkau daripada musuhmu dan memberi engkau keturunan.

12 Jika sampai akhir hayatmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.

13 Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja.

14 Aku akan menjadi bapanya dan dia menjadi anak-Ku. Apabila dia berbuat salah, Aku akan menghukum dia seperti seorang bapa menghukum anaknya.

15 Tetapi Aku akan tetap mengasihinya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku dengan dia akan tetap Aku pegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja.

16 Engkau akan sentiasa mempunyai keturunan dan Aku akan mengekalkan kerajaanmu. Kerajaanmu tidak akan berkesudahan.’ ”

17 Demikianlah Natan memberitahu Raja Daud segala yang telah dinyatakan oleh Allah kepadanya.

Doa Kesyukuran Raja Daud

18 Selepas itu Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Baginda duduk lalu berdoa, “Ya TUHAN Raja, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang telah Engkau tunjukkan kepadaku selama ini.

19 Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu, ya TUHAN Raja. Engkau telah berjanji tentang keturunanku pada masa hadapan, dan Engkau membenarkan aku melihat hal ini, walaupun aku hanya manusia, ya TUHAN Raja!

20 Apa lagi yang dapat kukatakan kepada-Mu! Engkau mengetahui segala sesuatu tentang hamba-Mu ini.

21 Oleh sebab janji dan kehendak-Mu sendiri, Engkau melakukan perbuatan-perbuatan besar itu untuk mengajar hamba-Mu ini.

22 Engkau sungguh agung, ya TUHAN Raja! Engkau tiada tandingan; sejak dahulu kami telah tahu bahawa Engkaulah satu-satunya Allah.

23 Di seluruh muka bumi ini, tiada bangsa lain seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, serta menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib itu, yang telah Engkau lakukan bagi mereka, sudah memasyhurkan nama-Mu di seluruh dunia. Engkau mengusir bangsa-bangsa lain dan dewa-dewa mereka apabila umat-Mu maju bertempur, umat yang Engkau selamatkan dari Mesir untuk menjadi umat-Mu sendiri.

24 Engkau telah menjadikan Israel umat-Mu selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, sudah menjadi Allah mereka.

25 Sekarang, ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang sudah Engkau janjikan itu.

26 Nama-Mu akan termasyhur dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel!’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku akan memerintah sebagai raja bangsa ini untuk sepanjang masa.

27 Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah umat Israel! Aku berani berdoa demikian kerana Engkau sudah menyatakan perkara ini kepadaku, hamba-Mu. Engkau telah memberitahu aku bahawa anak cucuku turun-temurun akan Engkau jadikan raja bangsa ini.

28 Oleh itu, ya TUHAN Raja, Engkaulah Allah! Engkau sentiasa menepati janji-Mu, dan Engkau sudah menjanjikan perkara yang indah untukku.

29 Aku mohon, sudilah memberkati keturunanku supaya mereka tetap merasakan kasih-Mu selama-lamanya. Ya TUHAN Raja, semua ini telah Engkau janjikan, maka keturunanku akan tetap Engkau berkati selama-lamanya.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24