2 Samuel 3:21-27 BMDC

21 Selepas itu Abner berkata kepada Raja Daud, “Izinkanlah hamba pergi untuk mengajak seluruh Israel supaya bergabung dengan tuanku. Mereka akan menerima tuanku sebagai raja, dan dengan demikian tuanku akan memerintah seluruh negeri, sesuai dengan kehendak tuanku.” Kemudian Raja Daud membenarkan Abner pergi dan menjamin keselamatannya.

22 Kemudian Yoab bersama dengan anak buah Raja Daud yang lain, kembali dari penyerbuan dan membawa pulang banyak barang jarahan, tetapi Abner sudah pergi dari Hebron. Raja Daud sudah membenarkan Abner pergi dan menjamin keselamatannya.

23 Apabila Yoab dan pasukannya tiba, dia diberitahu bahawa Abner telah menghadap Raja Daud, dan baginda membenarkan dia pergi serta menjamin keselamatannya.

24 Oleh itu Yoab menghadap raja dan berkata, “Mengapa tuanku berbuat demikian? Abner telah datang menghadap tuanku. Mengapa tuanku membenarkan dia pergi begitu saja?

25 Tentu tuanku tahu bahawa kedatangan Abner itu hanya untuk menipu tuanku, dan untuk mengetahui tempat-tempat yang tuanku pergi, serta segala perbuatan tuanku.”

26 Setelah meninggalkan Raja Daud, Yoab mengirim utusan untuk memanggil Abner. Mereka menyusul Abner dekat perigi Sira, lalu mereka membawanya kembali. Semua hal itu terjadi tanpa diketahui oleh Raja Daud.

27 Sebaik sahaja Abner tiba di Hebron, Yoab mengajak dia ke pinggir pintu gerbang, seolah-olah dia hendak bercakap bersendirian dengannya. Tiba-tiba Yoab menikam perut Abner sampai dia mati. Demikianlah Abner mati dibunuh oleh Yoab untuk membalas dendam terhadap pembunuhan Asael, adiknya.